Perlu tindakan lebih tegas tangani kezaliman di Gaza

- Advertisement -

TEMERLOH: Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPNP) menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas dan berani dalam menangani krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza.

- Advertisement -

Ketuanya, Ustaz Mohd. Zarimi Abu Zih (foto) berkata, kekejaman rejim Zionis Israel yang tidak berperikemanusiaan kini telah meragut puluhan ribu nyawa, termasuk wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

“Kami memandang serius perkembangan semasa di Gaza yang menyaksikan penduduk Palestin terus menjadi mangsa kekejaman berterusan tanpa sebarang perlindungan yang sewajarnya.

“Malaysia sebagai sebuah negara yang memperjuangkan prinsip keadilan sejagat dan memperlihatkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin, harus menunjukkan komitmen yang lebih konkrit dalam bentuk tindakan,” ujarnya melalui satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyeru masyarakat agar terus mempertingkatkan tahap boikot terhadap produk syarikat yang menyokong Israel.

Ini juga, katanya sejajar dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Islam Sedunia baru-baru ini bahawa melawan Israel adalah jihad bagi umat islam dan negara-negara Islam.

Tambahnya, DPPNP juga menyeru agar kerajaan segera menghantar pasukan keselamatan termasuk unit perubatan dan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui koordinasi dengan negara jiran seperti Mesir atau Turkiye.

“Pemuda PAS Pahang mahu kerajaan membuka jalan diplomatik untuk membentuk pasukan pengaman bersama negara-negara Islam bagi melindungi rakyat Palestin daripada serangan berterusan Israel,” ujarnya.

Katanya, Pemuda PAS negeri juga mahu Malaysia menyokong sepenuhnya sebarang inisiatif ketenteraan dari blok negara Islam yang mahu campur tangan bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai itu.

“Sudah tiba masanya Malaysia bukan sahaja menjadi suara lantang di pentas antarabangsa, tetapi juga menjadi pencetus tindakan dalam mempertahankan maruah umat Islam dan hak asasi manusia sejagat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 7/4/2025

- Advertisement -