
ALOR SETAR: Dalam suasana kemeriahan menyambut Aidifitri, umat Islam diingatkan agar jangan melupakan penderitaan rakyat Palestin khususnya di Gaza yang dibantai serta diganyang oleh regim Zionis-Israel saban waktu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pengeboman yang berlaku di khemah pelarian, menyaksikan tragedi amat tragis apabila cebisan-cebisan mayat badan manusia melantun bersama debu-debu ke udara.
“Pembunuhan dan penghapusan etnik, pengeboman tanpa belas kasihan kepada rakyat palestin oleh regim Zionis ini perlu dikutuk sekeras-kerasnya.
“Kita yang berada jauh ini, hulurkan bantuan dan sumbangan kepada rakan-rakan pertubuhan NGO yg membuat kutipan, untuk sampaikan kepada rakyat Palestin.
“Bantu dan sumbang untuk rakyat palestin, InsyaAllah, Allah akan lipat gandakan nikmat dan rezeki kita untuk sambut Aidilfitri tahun depan pula,” kata beliau.
Sanusi berkata demikian ketika memberi ucapan sempena Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Kedah 2025, di Kediaman Rasmi Seri Mentaloon, malam tadi.
Kesempatan itu juga, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jentera kerajaan negeri diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Norizan Khazali yang memberi sokongan padu sejak Perikatan Nasional (PN) menerajui negeri itu bermula 2020 hinggalah ke hari ini.
“Saya mengharapkan sokongan dan dukungan ini berterusan atas sikap profesional yang telah ditunjukkan oleh rakan-rakan Pegawai Tadbir Kedah Darul Aman ini,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Sanusi juga berkata, Kedah dan rakyatnya yang sering menjadi mangsa sorotan pihak tertentu, sebenarnya telah menempa banyak kejayaan sejak 2020 yang tidak dapat ditandingi oleh kerajaan sebelumnya.


Antaranya kata beliau, pencapaian khususnya sektor industri dan pelaburan, di mana pada tahun 2025 ini sahaja sebanyak RM44.1 billion pelaburan telah dicapai oleh Kedah
“Kalau ikut seperti yang digambarkan oleh pihak sana, tentulah pelabur tak mai (mari) dan tak mau (mahu) melabur di Kedah.
“Tetapi para pelabur itu sebelum meletakkan modal yang begitu besar dalam satu-satu industri, mereka akan buat kajian terlebih dahulu, di manakah pelaburan yang paling sesuai untuk diletakkan modal.
“Alhamdulillah, bermula 2020 hingga 2025, lebih daripada RM100 billion pelaburan masuk ke kedah, ini satu bukti bahawa negeri ini sedang berada dalam keadaan stabil, tenang, kemas, dan mengorak langkah ke depan.
“Oleh itu rakyat Kedah jangan gusar dan bimbang dengan gambaran negatif tentang Kedah ini,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu lagi.
Seperkara lagi, berkenaan isu air, jelasnya, dalam tempoh 2025 dan 2026 sebahagian besar iaitu empat daripada lima Loji Rawatan Air (LRA)akan siap.
Walaupun katanya, beliau pernah menjangkakan masalah air di Kedah akan selesai pada penghujung 2023 namun disebabkan pandemik Covid-19 serta perlaksanaan PKP, ia terpaksa dianjakkan dua tahun ke hadapan.
“Bila LRA siap nanti, pada masa itu, saya harap mereka yang mencerca kita pada waktu ini menjadi ‘bisu’. Bisu tak ada apa nak cakap lagi.
“Oleh itu sementara depa (mereka) boleh lagi sambut hari raya, rayalah puas-puas hingga akan dibisukan setahun dua lagi,” cuit beliau.

Mengulas lanjut, katanya, Kedah yang berslogankan, ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ tidak akan menafikan hak mana-mana kaum malah tidak menganak tirikan sesiapa pun sejak diterajui PN bermula Mei 2020.
Justeru itu,beliau mengharapkan ketenangan, perpaduan dan perniagaan yang rancak di Kedah ini berterusan malah hubungan baik antara kaum terus subur.
Sementara itu, beliau juga berpesan khususnya kepada ibu bapa agar memberi keutamaan kepada pendidikan anak-anak dan berusaha memastikan tiada yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
“Pakat jaga anak-anak, jangan terbabit dengan dadah. Bagi pendidikan sebaiknya dengan sedaya upaya dan beri peluang agar anak-anak dapat menimba ilmu menambah kemahiran untuk mengubah nasib keluarga di masa akan datang,” katanya lagi.
Turut hadir, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan isteri, Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Norizan Khazali dan isteri.
Termasuk Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersama keluarga masing-masing, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pemimpin pertubuhan NGO dan wakil-wakil kaum India dan Cina.
Sementara itu majlis yang bermula pada pukul 5 petang hingga 11 malam itu, dihadiri lebih daripada 60,000 pengunjung dari pelusok Kedah termasuk luar Kedah.
Sebanyak 34 menu juadah disediakan termasuk nasi daging Sungai Pau untuk pengunjung.
Dalam pada itu para hadirin dihiburkan dengan persembahan artis terkenal, Ramli Sarip, Mawi, Aris Ariwatan dan kumpulan nasyid Nada, di samping keunikan bagai pesta cahaya di perkarangan kedian rasmi berkenaan. – HARAKAHDAILY 7/4/2025













