
KOTA BHARU: Penduduk Taman Guru di sini dipuji kerana inisiatif masyarakatnya yang sentiasa menjaga kebersihan taman berkenaan sebagaimana diusahakan Persatuan Kebajikan Masyarakat Taman Guru (PKMTG).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Shaari Mat Yaman menzahirkan rasa bangga dan teruja atas inisiatif berkenaan sehingga menjadikan taman berkenaan antara yang bersih dan ceria dalam DUN berkenaan.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Kempen Taman Guru Kekal Bersih Tahun 2025 yang berlangsung di sini semalam.
Menurut beliau, usaha murni ini akan menjadi pencetus dan permulaan untuk pihak DUN mengadakan agenda yang sama di kawasan perumahan lain dalam DUN Bunut Payong.
“Tahniah kepada Persatuan Kebajikan Masyarakat Taman Guru kerana Taman Guru telah dipilih oleh Kerajaan Negeri Kelantan sebagai Taman Terbersih Negeri Kelantan Tahun 2024.
“Pencapaian ini adalah bukti kesungguhan kita semua dalam menjaga kebersihan dan keindahan kawasan tempat tinggal kita,” katanya.
Beliau memberitahu, untuk mengekalkan kedudukan sebagai Taman Terbersih 2025 adalah satu cabaran yang besar bagi semua, namun dengan kesungguhan dan usaha bersama, usaha itu mampu dicapai.
Shaari yang juga Pengarah Pusat Khidmat DUN (PKD) Bunut Payong turut menyeru masyarakat agar mengamalkan budaya membuang sampah pada tempatnya dan tidak sesekali membuang sampah merata-rata.
Beliau juga mengingatkan agar menggunakan tong sampah yang disediakan dan memastikan sampah dibuang mengikut jadual kutipan ditetapkan.
Katanya, amalan konsep 3R iaitu ‘reduce, reuse, dan recycle’ perlu diterapkan bagi mengurangkan jumlah sisa buangan, sekali gus menjaga kelestarian alam sekitar.
“Jadikan amalan gotong-royong sebagai satu budaya di Taman Guru bagi memastikan kawasan sekitar kita sentiasa bersih dan indah. Pastikan longkang dan saliran air tidak tersumbat untuk mengelakkan pembiakan nyamuk dan banjir kilat,” ujarnya lagi.
Beliau menambah kata, generasi muda perlu dipupuk dengan kesedaran untuk menjaga kebersihan sejak kecil agar budaya ini terus diwarisi.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Datuk Mohd Anis Hussien dan Pengerusi PKMTG, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim.
Pada majlis tersebut, Shaari turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM2,300 kepada pihak persatuan selain menyampaikan tiga unit tong sampah tajaan syarikat SEE Enterprise.
Majlis yang turut dihadiri pimpinan masyarakat setempat dan penghuni kejiranan taman itu turut menyaksikan pelancaran Skuad Sukarela Mesin Rumput sebagai langkah proaktif menjaga kebersihan persekitaran. – HARAKAHDAILY 6/4/2025











