PRK Ayer Kuning: PAS Kelantan hantar jentera bantu

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS Kelantan sudah mengerakkan jentera pilihan raya bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak yang dijadualkan pada 26 April depan.

- Advertisement -

Setiausaha PAS Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, pihaknya diamanahkan untuk melakukan kempen pilihan raya di empat Unit Daerah Mengundi (UDM) sejak Jumaat lepas, 4 April.

“Kita sudah hantar jentera kita ke Ayer Kuning bermula Jumaat lalu dan kita menggunakan perbelanjaan sendiri, kita hantar jentera di peringkat PAS Kawasan, kita Kelantan diberikan empat UDM.

“Gelombang pertama ini bermula 4 April sehingga 12 April, keramaiannya berdasarkan kemampuan PAS Kawasan paling kurang 15 orang, jadi 15 kali empat, 60 orang semuanya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat program Rumah Terbuka PAS Kelantan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Hadir sama Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah, mantan Speaker DUN, Dato’ Abdullah Yaakob dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Dato Abdul Rahman Yunus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian pada 26 April, dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung. – HARAKAHDAILY 6/4/2025

- Advertisement -