Mangsa tragedi Putra Heights perlu amal prinsip TAHU

Yusfarizal Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengamal Undang-undang, Yusfarizal Yussoff, menasihat mangsa tragedi Putra Heights supaya mengamalkan prinsip ‘TAHU’ bagi memastikan hak dan kepentingan mereka terbela.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Undang Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) PAS Selangor berkata, prinsip ‘TAHU’ merangkumi empat perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh setiap mangsa tragedi itu.

- Advertisement -

“T ialah kita kena taksir kerugian. Kita kena tahu kerugian kita, tahu kerosakan yang dialami. Cari dokumen dan bukti-bukti untuk memudahkan urusan tuntutan, sama ada tuntutan insurans ataupun tuntutan saman kecuaian yang mungkin dilakukan nanti,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan langkah berjaga-jaga, iaitu A kerana risiko bahaya masih ada meskipun keadaan mulai stabil.

“Kita perlu amalkan langkah berjaga-jaga. Sekarang adalah masa yang penting untuk sangat berhati-hati walaupun saya kira berapa rumah telah diberikan kebenaran untuk pulang.

“Namun, masih ada di PPS (Pusat Pemindahan Sementara). Jadi berhati-hati apabila masuk rumah dan amalkan langkah berjaga-jaga,” katanya.

Yusfarizal juga menekankan kepentingan komunikasi, iaitu H dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memastikan langkah keselamatan dipatuhi.

“H pula, kita kena hubungi dan sentiasa berkomunikasi dengan pihak berkuasa seperti PDRM, bomba, NADMA dan TNB. Kita perlu mematuhi apa yang pihak berkuasa nasihat kerana sebenarnya kita tidak tahu apakah impak yang sebenar apabila pulang rumah,” katanya.

Beliau berkata, aspek terakhir dalam ‘TAHU’ ialah U atau undang-undang (U). Semua pihak perlu berpegang kepada peraturan dan mendapatkan nasihat guaman bagi sebarang tuntutan sivil.

“U juga bermaksud negara kita adalah negara hukum dan berpaksikan undang-undang. Jadi dapatkan nasihat. Saya kira kalau untuk ke depan, kalau ada tuntutan sivil perlu dapatkan nasihat guaman kerana kita mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Katanya, begitu juga pihak yang melakukan perlu mengikut undang-undang dan tidak menyusahkan mangsa yang tertekan dengan pelbagai kerugian.

“Tawarkan penyelesaian dan ganti rugi supaya mangsa boleh melupakan episod hitam ini dan meneruskan hidup masing-masing,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/4/2025

- Advertisement -