
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah, menasihati umat Islam supaya menggunakan pendekatan berlembut dan bersangka baik apabila menyelesaikan isu berkaitan harta supaya Allah membuka jalan damai.
Menurutnya, kadang-kadang bukan harta yang merosakkan, tetapi cara menyelesaikan isu itu.
Ketika menerima kunjungan sanak saudara, kenalan dan rakyat sempena Aidilfitri, katanya ada tiga kisah berbeza dengan nada yang sama berkaitan perebutan harta.
“Ada yang bercerita tentang tanah yang menjadi rebutan. Ada pula yang sudah bertahun-tahun tidak bertegur sapa kerana tidak berpuas hati dengan pembahagian.
“Ada adik-beradik bergaduh sehingga melibatkan kata-kata kesat, tuduh-menuduh, bahkan ada yang tidak pulang ke kampung bertahun lama hanya kerana harta.
“Rupa-rupanya, ini bukan lagi satu dua kisah terpencil. Ia telah menjadi gejala besar dalam masyarakat kita hari ini,” katanya dalam media sosial miliknya.
Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kelantan berkata, tidak semua perkara dalam hidup dapat disepakati, namun memilih jalan pertelingkahan hingga membawa kepada perpecahan keluarga bukan cara yang betul.
“Islam telah memberikan penyelesaian. Agama kita sangat indah dan lengkap, sehingga bab pembahagian harta pusaka pun diatur dengan sangat terperinci. Tiada ruang untuk menokok tambah mengikut hawa nafsu atau andaian sendiri.
“Allah tidak membiarkan urusan ini samar-samar supaya tiada siapa yang dizalimi dan tiada siapa yang tamak. Apabila semua patuh kepada ketetapan Allah, insya-Allah aman,” katanya.
Beliau menambah, kadang-kadang perkara yang timbul adalah akibat daripada situasi yang berlaku secara tidak disengajakan.
“Misalnya, ada kes pembinaan rumah atau pagar yang tanpa sedar telah termakan tanah waris lain. Masing-masing hanya bergantung kepada ingatan orang tua atau tanda-tanda lama yang sudah hilang, yang memerlukan penjelasan dan penelitian semula.
“Maka ruang perlu diberikan. Jangan terus dibuat tuduhan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya perkara begini dirujuk kepada pihak yang arif dan berpengalaman serta dibincangkan dalam suasana terbuka dan penuh hormat.
“Cari maklumat sebenar. Cuba fahami sejarah sebenar. Jangan terburu-buru membuat kesimpulan yang boleh memutuskan hubungan dan menyakiti hati,” katanya.
Mohd Amar berkata ketenangan adalah kunci kepada penyelesaian damai dan hubungan adik-beradik perlu diutamakan.
“Harta boleh dicari, pusaka boleh diurus, tetapi kasih sayang dan pertalian darah tidak dapat diganti. Sebagai orang tua, terasa terpanggil untuk menasihati. Jika sekarang kita biarkan adik-beradik bergaduh kerana pusaka, maka esok anak-anak kita pula akan mewarisi cara yang sama.
“Maka, segeralah selesaikan jika ada. Jika belum berlaku, bersedialah dengan ilmu dan kefahaman. Didik ahli keluarga agar masing-masing reda dan faham hak masing-masing. Tinggalkanlah warisan yang penuh dengan keberkatan dan kasih sayang, bukan kebencian dan perpecahan,” katanya.
Beliau turut berkongsi sekeping gambar kenangan terakhir keluarganya di tanah dan rumah peninggalan orang tua yang bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan dan pembesaran jalan.
“Semua binaan yang kelihatan dalam gambar ini akan hilang dari pandangan, digantikan dengan laluan baharu demi kemudahan masyarakat.
“Semoga Allah SWT memberikan kami sekeluarga kekuatan untuk meneruskan amal jariah mereka, menjaga kasih sayang dan meneruskan didikan yang telah ditinggalkan, serta menyambung perjuangan hidup mereka agar pahala mereka terus mengalir tanpa henti,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/4/2025











