
KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) selamat tiba di kawasan operasi untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Myanmar.
Pasukan MAS-01 tiba dengan bantuan iringan pihak polis negara itu ke kawasan pengoperasian, iaitu di daerah Sagaing.
Mengikut laman Facebook Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia hari ini, sejurus tiba, Markas Operasi (BoO) didirikan.
Pada masa sama, Komander Kontinjen, PgKB I Mohamad Hafiezul Abdul Halim, mengadakan mesyuarat dengan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Tempatan (LEMA) yang diwakili oleh Pegawai Daerah, U Myaw Swar Maung Soe.
Sebelum ke Myanmar, Pasukan MAS-01 menjalankan beberapa aktiviti melibatkan pendaftaran, semakan dokumen, pemeriksaan kesihatan, dan taklimat operasi.
Operasi ini juga melibatkan pasukan sokongan daripada Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat serta doktor dan paramedik dari Kor Kesihatan Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pasukan MAS-01 adalah pasukan mencari dan menyelamat bandar yang berupaya beroperasi tanpa henti di dua kawasan operasi berbeza dalam tempoh 14 hari tanpa sebarang bantuan dari negara yang terlibat dalam bencana.
Pasukan ini juga pakar dalam mengesan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan menggunakan pelbagai peralatan khas, menyelamat mangsa menggunakan kaedah potong dan pecah serta melaksanakan penyelamatan menggunakan tali.
Menaiki dua pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Myanmar, pasukan ini membawa dua lori lima tan dan satu Hilux, serta 30 tan peralatan operasi dan markas operasi. – HARAKAHDAILY 31/3/2025











