Transformasi digital pentadbiran tingkat kecekapan

Selari tuntutan Islam, ibrah surah al-Naml

- Advertisement -

KOTA BHARU: Transformasi pentadbiran negeri atau negara sering dikaitkan dengan proses menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, terutama melalui kaedah pendigitalan atau automasi pengurusan bagi mengurangkan birokrasi, meningkatkan kecekapan dan mengelak ketirisan. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, konsep transformasi digital pentadbiran itu pada asasnya mempunyai sandaran dalam Islam. 

Menurutnya, kisah Nabi Sulaiman AS dan Ratu Saba’ dalam surah al-Naml, ayat 15 hingga 44, menceritakan bagaimana kehebatan ilmu pentadbiran Nabi Sulaiman AS membawa kepada keinsafan dan keislaman Sang Ratu secara sukarela.

“(Ia) sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat 44 surah berkenaan: ‘Dikatakan kepadanya: Dipersilakan masuk ke dalam istana ini. Maka ketika dia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air lalu dia pun menyingsingkan pakaian daripada dua betisnya.

“‘Nabi Sulaiman berkata: Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin berkilat daripada kaca. (Mendengar yang demikian), Beliau (Sang Ratu) berdoa: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam.’ (al-Naml: 44),” katanya memetik maksud ayat al-Quran.

Beliau berkata, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pentadbiran kerajaan atau swasta hari ini adalah langkah memenuhi keperluan semasa negeri dan negara. 

“Membangunkan aplikasi digital yang bersepadu dapat menjimatkan tempoh masa sesuatu perkhidmatan serta meningkatkan tahap kompetensi modal insan.

“Teknologi AI dalam automasi kepejabatan, pengurusan kewangan, pertanian, pendidikan, program inovasi pelaburan dan pelbagai sektor adalah langkah produktif,” katanya. 

Menurutnya, teknologi bukan alasan untuk kurang bekerja atau menyerahkan sepenuhnya urusan kepada sistem automatik, sebaliknya kepandaian manusia masih diperlukan bagi memastikan teknologi dimanfaatkan sepenuhnya. 

“Hasrat transformasi pendigitalan seharusnya disambut dengan baik melalui sistem yang bersepadu dan komprehensif serta disokong dengan nilai manusiawi.

“Kita yang perlu memanfaatkan teknologi, bukan sebaliknya sehingga boleh dimanipulasi secara tidak wajar,” jelasnya. 

Ustaz Mohd Asri turut menegaskan bahawa transformasi digital bertujuan memastikan ketekunan kerja dan nilai integriti diamalkan, selain meningkatkan mutu perkhidmatan agar setiap pekerja terpandu dalam menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab. 

Beliau mengingatkan bahawa usaha mencari rezeki yang halal bukan sahaja mulia di dunia, malah mendapat ganjaran besar di akhirat.

“(Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW) ‘Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.’ (Riwayat al-Baihaqi dan al-Thabarani),” katanya memetik hadis Nabi SAW. – HARAKAHDAILY 29/3/2025

- Advertisement -
- Advertisement -