Perlis galakkan solat Aidilfitri di kawasan lapang

Solat sunat hari raya pada tahun sebelum ini
- Advertisement -

ARAU: Umat Islam di Perlis digalakkan menunaikan solat Aidilfitri di kawasan lapang yang diselaraskan oleh jawatankuasa kariah masjid masing-masing.

- Advertisement -

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah bahawa solat akan bermula antara jam 7:45 hingga 8:15 pagi, bergantung pada keputusan kariah.

Baginda bertitah, jika keadaan cuaca tidak mengizinkan, solat akan dialihkan ke ruang dalam masjid pada jam 8:15 pagi, dengan hebahan dibuat pada jam 7:45 pagi.

“Pelaksanaan ini selaras dengan Sunnah Baginda Rasulullah SAW. Namun, jawatankuasa kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan, bergantung kepada kapasiti ruang dan jumlah jemaah yang hadir,” titah baginda.

Bagi Kariah Kota Raja Arau, solat Aidilfitri akan diadakan di Dataran Istiadat Istana Arau pada jam 8:00 pagi.

Sekiranya hujan, ia akan dilaksanakan di ruang solat Masjid Negeri Arau.

Baginda turut bertitah bahawa pengurusan masjid perlu memastikan pelaksanaan solat mengikut tatacara yang ditetapkan, termasuk lafaz takbir raya, kaifiyat solat, serta khutbah Aidilfitri berdasarkan panduan Jabatan Mufti Negeri Perlis. – HARAKAHDAILY 29/3/2025

- Advertisement -