
KUALA LUMPUR: Dalam tempoh hanya satu jam setengah selepas pelancaran kempen Infak Kasih 25 Ramadan, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Malaysia berjaya mengumpul hampir RM150,000 bagi membantu golongan yang memerlukan.
Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Damanhuri Dol berkata, kempen ini bukan sekadar mengutip dana, tetapi bertujuan mendidik lebih 142,000 pelajar PASTI di seluruh negara terhadap kepentingan memberi sumbangan sejak kecil.
“Alhamdulillah, kita anjurkan kempen ini untuk mendidik anak-anak sejak umur empat, lima, enam tahun agar belajar menyumbang, menderma dan berinfak.
“Kita ajar mereka daripada peringkat awal kanak-kanak supaya faham kepentingan membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika berucap dalam Program 25 Ramadan PASTI Malaysia yang diadakan secara dalam talian semalam.
Menurutnya, sasaran kempen ini adalah setiap pelajar menyumbang antara RM2.50 atau 10 sen sehari sehingga penghujung Ramadan, dengan harapan jumlah kutipan dapat mencapai sasaran RM250,000.
“InsyaAllah, kempen ini akan berterusan hingga Ramadan berakhir. Kita berharap ibu bapa dan guru-guru turut memberikan sokongan agar usaha ini berjaya.
“Hasil sumbangan ini juga akan dipulangkan kepada PASTI di setiap peringkat (cawangan, kawasan dan negeri) untuk program kebajikan,” tambahnya.
Selain kempen infak, program 25 Ramadan PASTI Malaysia turut dipenuhi dengan pelbagai aktiviti munajat dan tazkirah yang bertujuan memperkukuhkan kefahaman Islam dalam kalangan warga PASTI.
Program ini dimulakan seawal jam 4 pagi dengan sesi Qiamullail yang menggalakkan semua warga PASTI untuk bangun beribadah.
Antara amalan yang digalakkan termasuk solat sunat tahajud, solat sunat taubat dan solat sunat hajat bagi memohon keberkatan untuk PASTI serta perjuangan Islam, sesi ini diakhiri dengan zikir dan doa munajat.
Pada jam 4:45 pagi, peserta bersiap sedia untuk slot tazkirah dengan log masuk ke siaran Zoom atau YouTube, di samping mengambil peluang untuk bersahur.

Seterusnya, pada jam 5 pagi, Ustaz Wan Hamidi Wan Mat menyampaikan tazkirah yang boleh diikuti secara langsung melalui Zoom dan YouTube.
Pada waktu pagi, aktiviti diteruskan dengan solat hajat dan doa munajat anak PASTI pada jam 8 pagi yang diadakan serentak di seluruh Malaysia.
Sesi ini memberi ruang kepada pelajar untuk memanjatkan doa khusus demi kebaikan ibu bapa, kesejahteraan PASTI serta umat Islam secara keseluruhan.
Kemudian, pada jam 9:30 pagi, satu lagi sesi tazkirah disampaikan oleh Ustazah Asma Harun yang diadakan secara dalam talian dan disertai oleh seluruh murid PASTI.
Tepat jam 10 pagi, kempen Infak Kasih 25 Ramadan dilancarkan secara rasmi melalui Zoom dan YouTube.
Kempen ini membolehkan sumbangan dibuat secara dalam talian melalui pautan rasmi PASTI Malaysia.
Semua cawangan PASTI digalakkan untuk mengadakan majlis penyerahan sumbangan pada 30 Mac 2025.
PASTI Malaysia turut memanfaatkan platform media sosial bagi mempromosikan kempen ini supaya lebih ramai pihak dapat menyumbang.
Selain itu, program tambahan seperti Angkatan Kasih Ramadan akan dijalankan mengikut kemampuan setiap cawangan PASTI.
“Dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan, program ini diharapkan dapat memperkukuh semangat infak dan ibadah dalam kalangan pelajar serta masyarakat.
“Semoga setiap amalan diterima dan diberkati Allah. Jom bersama menyemarakkan 25 Ramadan dengan munajat dan infak,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 27/3/2025












