
ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, beliau sudah tidak berminat untuk melayan kerenah mahupun provokasi pihak tertentu, sebaliknya mahu menumpukan urusannya mentadbir negeri.
“Saya malas dah nak main ‘game’ dengan depa (mereka), depa nak buat apapun, buatlah, saya buat kerja saya saja. Yang mana boleh saya tolong, saya tolong,” katanya.
Jelasnya, tohmahan kononnya, beliau tidak membantu Kedah Darul Aman (KDA) FC, adalah tidak tepat sama sekali.
Sedangkan jelas beliau, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sehingga kini konsisten membayar hutang KDA FC sebanyak RM200,000 setiap bulan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Ganjaran kepada Atlet dan Pegawai sempena Temasya Para Asean Games Cambodia 2023, Sukma dan Para Sukma XXI Sarawak 2024, dan Olimpik Paris 2024 di Dewan Seri Mentaloon, di sini semalam.
“Jangan kata KFA tak tolong, sewaktu kita mula ambil pasukan itu, sudah pun ada hutang RM16 juta. Pemain bola sepak tertunggak gaji selama empat bulan. Kemudian ada lagi pelbagai tuntutan, hitung semua hampir RM30 juta.
“Ada yang kata kita tak buat apa untuk bantu bola sepak. Kalau mai tolong bagi RM200,000, lepas tu kutuk pula pihak yang menyumbang lebih banyak daripada itu. Hilanglah pahala tu jadi debu. Sayangkan.Allah tak kira dah.
“Kalau dah nak buat kebaikan jangan pi hentam orang, bimbang orang kena hentam tu, mungkin kebaikannya lebih baik dari kita,” tegas Presiden KFA itu lagi.
Walau bagaimanapun, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak yang sudi datang buat kebaikan di Kedah, khususnya membantu pemain bola sepak negeri ini.
“Baguslah, ada pertubuhan NGO yang kutip duit, ada tolong jadi tukang sampaikan, tolong kutip, tolong kumpul. Baguslah,” tambahnya.
Namun kata Sanusi, ketika KFA beralih ke bawah kepimpinannya, terdapat pemain import yang masing-masing menerima bayaran sebulan RM125,000.
Bayangkan ujarnya, dalam keadaan hutang KFA dan tunggakan gaji pemain yang perlu dijelaskan, pihaknya terpaksa mencari dana untuk menyelesaikan masalah kewangan itu.
Namun beliau agak kesal apabila para menyumbang kepada KFA, tiba-tiba dikepung oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), atas mainan politik pihak tertentu.
“Terdapat 11 orang kakitangan KDA FC yang bukan bekerja dengan pasukan. Mereka ini dibantu oleh YB Radhi, guna duit peribadi dia, sumbang seorang RM1,500 untuk Aidilfitri.
“Jangan kata kami tak buat apa, kalau kami senaraikan nanti apa yang kami buat untuk KDA FC ini, saya takut ada yang akan kesipuan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 27/3/2025











