Aidilfitri: Rumah baharu #Home2Live untuk Pak Mail

- Advertisement -

PADANG SERAI: Tidak pernah bermimpi akan memiliki rumah baharu yang lengkap, apatah lagi pada ketika Aidilfitri hampir menjelang.

- Advertisement -

Demikian kata Ismail Serap atau mesra dengan panggilan Pak Mail, apabila rumahnya di Kampung Chempedak, Labu Besar, yang agak uzur digantikan dengan rumah baharu serba lengkap.

“Apa pun saya tak ada, jangan mimpilah nak buat rumah baharu,” kata beliau.

Rumah baharu Pak Mail yang bernilai hampir RM90,000 itu dibina atas pembiayaan pertubuhan Muslim Care Malaysia menerusi program #Home2Live.

Rumah tiga bilik tidur yang dilengkapi satu ruang tamu, dapur dan bilik air, mampu memberi keselesaan kepada Pak Mail, isteri dan tiga orang anaknya.

Majlis penyerahan kunci rumah yang diadakan kelmarin, disempurnakan oleh Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Mohd Johari Ismail dan dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.

Sementara Dato’ Ashah yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, berkata, pihaknya bersyukur kerana usaha untuk membantu Pak Mail akhirnya berjaya, walaupun sebelumnya banyak halangan terpaksa dihadapi.

“Sebelum rumah ini dapat dibina, pelbagai cabaran dan rintangan terpaksa ditempuhi, terutamanya isu status tanah yang tidak jelas.

“Tapi Alhamdulillah, hari ini impian keluarga ini jadi kenyataan, ibarat hadiah Aidilfitri yang sangat bernilai kepada mereka,” kata beliau.

Dalam pada itu beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak terutama Muslim Care Malaysia, termasuk para penderma dan lain-lain yang bertungkus-lumus berusaha agar rumah impian Pak Mail menjadi kenyataan. – HARAKAHDAILY 27/3/2025

- Advertisement -