Selitkan doa untuk rakyat Palestin di 10 akhir Ramadan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Selitkan ingatan tulus serta doa tidak putus pada umat Islam di Palestin yang kini masih ditindas dan diserang oleh Israel di negara sendiri.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa  Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Ustaz Mohd Asri Daud berkata, ketika umat Islam kekenyangan di sini, mereka sedang berlapar.

Katanya, lebih 600 hari umat Islam di Palestin khususnya di Gaza diserang termasuk pada bulan Ramadan ini.

“Selitkan doa untuk mereka khususnya pada 10 terakhir Ramadan yang masih berbaki ini agar hidup mereka aman dan berjaya menentang Israel,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Colek bersama Media di JKR 10, di sini.

Lebih 15 rakan media dari pelbagai agensi hadir pada majlis yang dianjurkan Urusetia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan itu.

Sempena majlis itu juga, rakan-rakan media turut menerima cenderahati berupa kueh raya yang disampaikan oleh Ustaz Asri.

ADUN Demit itu seterusnya memberitahu, sumbangan kepada mereka yang berjuang di Gaza adalah lebih utama dalam keadaan semasa ini.

“Ada yang bersahur dengan hanya makan roti hasil infak kita, dan itu lebih baik daripada membiarkan mereka kelaparan.

“Kita perlu mencari jalan bagaimana dan apa yang mesti kita lakukan untuk menyumbang kepada mereka agar Ramadan yang penuh berkat ini disambut dengan tenang oleh mereka,” katanya.

Beliau turut menyeru agar derma disalurkan kepada NGO yang telah terbukti konsisten dalam membantu rakyat Palestin.

Dalam perkembangan terkini, serangan terbaru rejim Zionis telah mengorbankan 322 orang syahid serta mencederakan ratusan kanak-kanak.

“Itulah Zionis. Mereka sentiasa mengganas terhadap umat Islam tanpa henti,” tegas Asri.

Menurutnya, dunia moden kini sedang menyaksikan sejarah baharu apabila perang yang lebih besar dan hampir mencecah 600 hari telah berlaku.

“Perang dunia akan berlaku di akhir zaman, dan tiada siapa yang boleh menduganya atau menghalangnya.

“Rakan media lebih tahu kerana mereka mempunyai banyak hubungan dengan sumber luar negara yang memberikan gambaran sebenar mengenai situasi dunia,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan hubungan erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam usaha membangunkan negeri Kelantan.

“Jaringan erat dengan persekutuan perlu digabungkan supaya kedua-duanya dapat bekerjasama dalam membangunkan beberapa perkara penting untuk rakyat Kelantan,” tambahnya.

Beliau juga menyeru agar politik matang dan sejahtera terus diamalkan dalam negara bagi memastikan keharmonian terpelihara. – HARAKAHDAILY 26/3/2025

- Advertisement -