Pemandu teksi, ibu tunggal terima sumbangan Aidilfitri

- Advertisement -

PADANG TERAP: Seramai 44 penerima mendapat sumbangan Hari Raya Aidilfitri disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria, di Kompleks PAS Kawasan Padang Terap, kelmarin.

- Advertisement -

Mereka yang menerima sumbangan tersebut terdiri daripada pemandu teksi, ibu tunggal dan sebahagiannya golongan asnaf.

Kata Munir yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, inisiatif itu sebagai tanda ingatan pihak Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) bagi meringankan beban golongan yang memerlukan.

“Walaupun tidak seberapa diharapkan dapat memberikan sedikit keceriaan kepada penerima untuk menyambut hari dengan lebih bermakna ini,” ujar beliau.

Turut hadir Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nurul Amin Hamid dan Pegawai Khas Menteri Besar, Ustaz Mohd Azam Abd Aziz.

Terdahulu, Munir dan pegawai PKWR DUN Kuala Nerang, turun ke lapangan mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di sekitar Bazar Ramadan Bukit Nyamuk.

Beliau juga sempat beramah mesra bersama pengunjung dan peniaga di bazar berkenaan.

“Alhamdulillah, saya lihat perniagaan di bazar ini berjalan dengan baik walaupun Ramadan hampir ke penghujungnya,” ujar beliau.

Dalam pada itu beliau turut mengedarkan apron ‘Experience Kedah’  kepada para peniaga sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025. – HARAKAHDAILY 26/3/2025

- Advertisement -