Lorong Biggy dan Minato serlah gigih anak muda

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Kegigihan anak-anak muda membangunkan Lorong Biggy dan Lorong Minato di Pekan Lama, di sini sangat dipuji malah wajar dicontohi oleh golongan muda yang lain.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Usahawaan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, kesungguhan anak-anak muda berkenaan telah berjaya merealisasikan idea dan menjadikan impian mereka kenyataan.

“Saya sangat tertarik dengan kesungguhan mereka. Mereka bukan sahaja berjaya menghidupkan kembali kawasan tersebut. Malah menggilap dan memeriahkannya sehingga mampu membuka peluang ekonomi baharu kepada golongan belia yang lain,” katanya.

Tegasnya lagi, cabaran terbesar bagi menjadikan impian menjadi kenyataan terutama dalam dunia perniagaan serta keusahawanan, adalah kemahuan dan semangat.

Kata beliau, sekiranya kedua-duanya gagal digandingkan bersama, akan menyebabkan idea yang baik dan impian yang besar, hanya kekal  menjadi impian dan tidak ke mana-mana.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan itu turun meninjau perkembangan perniagaan di Pekan Lama tersebut.

Dalam tinjauannya kelmarin, beliau berpuas hati dengan kesungguhan sekumpulan anak-anak muda yang menghidupkan Lorong Biggy dan Lorong Minato, dengan pelbagai produk jualan menarik.

“Saya dapati perniagaan di sini menggabungkan elemen klasik dan kontemporari. Tidak hanya itu, idea yang baik ini juga berjaya memberi nafas baharu kepada kawasan ini dan berjaya menjadi tarikan kepada pelancong dan pelawat,” jelasnya lagi.

Tidak hanya itu kata Dato’ Salleh lagi, keupayaan anak-anak muda itu mentranformasi kawasan berkenaan menjadi pusat ekonomi dan budaya yang unik dan menarik, sangatlah dikagumi.

Malah ujarnya, kreativiti dan dedikasi serta kesesungguhnya yang ditunjukkan amat layak diberi tabik hormat.

Justeru beliau mengharapkan usaha anak-anak muda ini akan terus mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, agar ia terus berkembang dan menjadi simbol kejayaan generasi muda.

“Saya juga berharap lebih ramai anak-anak muda, khususnya di Kedah ini tampil dengan semangat yang sama untuk terus berinovasi dalam usaha menyemarakkan sektor keusahawanan di negeri yang kita cintai ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 26/3/2025

- Advertisement -