Pasar raya tutup sehari, kedai runcit dibuka petang

Aidilfitri di Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengarahkan semua pasar raya dan premis perniagaan tertentu di sekitar bandar raya ini ditutup sementara pada 1 Syawal 1446H sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. 

- Advertisement -

Menurut kenyataan rasmi MBKT, semua kompleks membeli-belah serta pasar raya besar akan ditutup sepenuhnya sepanjang hari pertama Aidilfitri.

Sementara itu, premis perniagaan seperti premis makanan segera, kedai runcit 24 jam, dan kedai serbaneka termasuk 7-Eleven, Treleaf Mart, DIY, serta ECO Shop hanya dibenarkan beroperasi selepas jam 1 petang pada hari tersebut. 

Arahan itu dikeluarkan bagi membolehkan pekerja dan peniaga turut sama meraikan perayaan bersama keluarga masing-masing.

MBKT turut mengingatkan semua peniaga agar mematuhi arahan tersebut dan tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mereka yang gagal mematuhinya. 

“Majlis Bandaraya Kuala Terengganu memohon kerjasama pihak tuan dan puan untuk memastikan supaya sebarang aktiviti perniagaan tidak beroperasi pada hari dan waktu yang ditetapkan.

“Jika didapati pihak tuan dan puan gagal mematuhi arahan ini, tindakan undang-undang akan dikenakan berpandukan undang-undang yang digunapakai oleh majlis,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/3/2025

- Advertisement -