
KOTA BHARU: Penutupan premis perniagaan pada 1 Syawal seperti pasar raya, restoran makan segera dan kedai serbaneka di Kelantan bukan perkara baru, sebaliknya sudah berjalan sejak sekian lama.
Keputusan itu selaras dengan peraturan pihak berkuasa negeri berhubung penutupan operasi pada hari raya pertama untuk membolehkan pekerja muslim menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah ketika dihubungi kelmarin.
“Peraturan tersebut bukan baharu, sebaliknya ia sudah diamalkan oleh kerajaan negeri sejak sekian lama,” katanya.
Menurutnya, semua premis perniagaan yang berkaitan telah maklum perkara itu setiap kali tiba 1 Syawal.
Beliau memberitahu, pihaknya berharap semua premis perniagaan dapat mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.
“Sekiranya melanggar peraturan, pemilik premis perniagaan boleh dikenakan kompaun. Pelaksanaan peraturan ini juga bertujuan membolehkan semua pekerja muslim menyambut Aidilfitri,” katanya.
Pada perkembangan lain, Hilmi turut memaklumkan semua pasar raya dibenarkan beroperasi sehingga pukul 11:00 malam berbanding biasa 10:00 malam bagi membolehkan orang ramai menyediakan keperluan Aidilfitri.
Beliau berkata, walau bagaimanapun pemilik pasar raya perlu membuat permohonan kepada PBT masing-masing.
Menurutnya, kerajaan negeri memberi peluang itu bagi memudahkan orang ramai berurusan untuk membeli-belah khususnya selepas tarawih.
“Pada masa yang sama, ketika ini juga anak-anak perantau sudah mula pulang ke kampung masing-masing dan ada di antara mereka mengambil peluang untuk membeli-belah di mana-mana pasar raya berdekatan,” ujarnya.
Hilmi memberitahu, kelonggaran itu dibuat sebagaimana biasa sebelum ini bagi memberi peluang kepada orang ramai membuat persediaan akhir menyambut Aidilfitri.
“Kita juga nak pastikan elaun OT diberikan kepada pekerja sebaiknya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 26/3/2025











