
JOHOR BAHRU: PAS Negeri Johor menuntut kerajaan negeri mengambil tanggungjawab terhadap tragedi dua pelajar maut selepas motosikal yang mereka tunggang terlanggar lubang ketika dalam perjalanan ke sekolah.
Ketua Penerangan PAS Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, pihaknya juga menggesa ditamatkan monopoli syarikat yang gagal menjalankan kerja dengan baik serta melaksanakan audit menyeluruh ke atas projek penyelenggaraan jalan raya di seluruh Johor.
“PAS Johor menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga dua pelajar yang terkorban baru-baru ini. Kejadian ini sekali lagi membuka mata rakyat terhadap kegagalan pihak berkuasa memastikan keselamatan jalan raya akibat penyelenggaraan lemah dan sambil lewa.
“Penduduk setempat telah lama mengadu mengenai keadaan jalan yang berlubang dan membahayakan pengguna, namun tindakan yang diambil tidak pernah tuntas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Abu Irfan berkata, tragedi itu bukan kemalangan biasa, tetapi natijah akibat kecuaian dan ketidakprihatinan pihak berwajib.
Selain itu katanya, PAS Johor mengecam sikap tidak rasional Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor yang hanya muncul dengan reaksi marah selepas tragedi berlaku.
“Rakyat menuntut tindakan, bukan sekadar kenyataan. Hakikatnya, isu jalan berlubang ini berlarutan terlalu lama di banyak kawasan Johor dan ia membuktikan kelemahan pengurusan serta sistem penyelenggaraan yang tidak cekap.
“Lebih menyedihkan, sistem pemberian kontrak penyelenggaraan jalan kepada pihak konsesi tertentu sering dipertikaikan, dengan dakwaan ketirisan dan unsur rasuah yang menyebabkan kerja dilakukan secara sambil lewa.
“Jika benar wujud kepentingan politik dan amalan rasuah dalam pengurusan infrastruktur negeri, maka tidak hairanlah rakyat terus menjadi mangsa,” katanya
Beliau menuntut kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang gagal menjalankan tugas termasuk meletakkan jawatan jika perlu.
Katanya, nyawa rakyat tidak boleh dipandang ringan dan jika sistem ini terus dibiarkan, tidak mustahil lebih ramai akan menjadi korban pada masa hadapan.
Beliau menegaskan bahawa PAS Johor akan terus bersuara untuk keadilan rakyat dan mendesak tindakan segera diambil sebelum lebih banyak nyawa melayang akibat kecuaian pihak tidak bertanggungjawab.
Media sebelum ini, melaporkan, dua beradik maut dalam perjalanan ke sekolah selepas motosikal yang mereka tunggang terlanggar lubang ketika dalam perjalanan ke sekolah – HARAKAHDAILY 26/3/2025











