Colek dan tarawih tarik perantau pulang awal

Shaari sedang berucap kepada hadirin
- Advertisement -

KOTA BHARU: Keunikan suasana makan colek dan solat tarawih di Kelantan menjadi faktor rakyat negeri ini yang berada di perantauan pulang lebih awal bagi merasai kemeriahannya.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerana itu sejak beberapa hari ini dilihat Bandar Kota Bharu serta laluan utama di negeri ini telah mulai sesak.

Bagi menikmati suasana itu, malam tadi beliau turut meluangkan masa menyantuni warga Kampung Lundang dalam majlis makan colek bersama masyarakat setempat.

Menurut beliau, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu setiap tahun mengadakan program sumbangan kepada golongan yang memerlukan sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

“Bantuan ini tidak terhad pada musim perayaan, malah Pusat Khidmat ketiga-tiga DUN Bunut Payong, Tanjong Mas, dan Kota Lama sentiasa berusaha menyelesaikan masalah rakyat apabila menerima aduan,” katanya ketikq berucap pada majlis itu.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu Palestin dan mengutuk serangan terbaru Zionis Israel terhadap rakyat Palestin yang sedang menjalani ibadah puasa.

“Ketika umat Islam berada dalam bulan Ramadan yang mulia ini, Zionis-Israel bertindak ganas sewaktu ibu-ibu membuat persiapan untuk sahur.

“Peristiwa berdarah ini diingati sebagai ‘Bloody Ramadan Sahur’ yang mengorbankan puluhan nyawa, termasuk wanita dan kanak-kanak,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam bersatu demi kelangsungan bangsa agar tidak terlalu berharap pada pihak lain.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Shaari Mat Yaman serta lain-lain pimpinan. – HARAKAHDAILY 26/3/2025

- Advertisement -