
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan penduduk Kampung Sungai Baru untuk menangguhkan sementara notis pengosongan premis penduduk kampung itu yang sepatutnya dilaksanakan esok.
Peguam penduduk, Dr Azura Mokhtar berkata, penangguhan itu akan berkuat kuasa sehingga permohonan penuh penduduk dibicarakan.
Menurutnya, pihaknya akan memfailkan afidavit jawapan dan afidavit balasan dengan perbicaraan permohonan hari ini akan dibicarakan secara keseluruhan pada 22 April depan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, permohonan bagi menangguhkan notis pengosongan premis itu dibuat oleh tiga orang daripada keseluruhan 108 orang penduduk.
“Saya difahamkan terdapat beberapa kategori penduduk, ada yang berpindah, ada yang tidak mengambil apa-apa tindakan.
“Namun setakat tiga orang defendan ini, masih ada yang tinggal di situ dan barang-barang mereka masih ada dalam rumah mereka,” ujarnya.
Penduduk Kampung Sungai Baru sebelum ini dilaporkan menerima notis untuk mengosongkan kediaman mereka sebelum jam 10 pagi esok.
Bagaimanapun, mereka membantah kerana tanah yang didiami itu sudah dibuktikan berstatus ‘Malay Agriculture Settlement’ (MAS) yang tidak boleh dijual beli kepada orang bukan Melayu dan memiliki kedudukan lebih tinggi dari Tanah Rizab Melayu. – HARAKAHDAILY 25/3/2025











