Iktiraf, naik taraf Pasukan Bomba Sukarela

Senator Hussin Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengiktirafan perlu diberikan kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) kerana berfungsi sama seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

- Advertisement -

Senator Hussin Ismail berkata, PBS ketika kebakaran turut bergelut bertarung nyawa, tetapi  pengiktirafan yang diberikan terhadap pasukan itu sekadar nampak apabila berlaku konflik atau ada jurang komunikasi antara JBPM dan PBS,  terutama pada waktu berlaku kecemasan dan kebakaran.

“Apakah tidak mungkin untuk mewujudkan gerakan bersepadu antara JBPM dan PBS. Saya sebutkan ini sebagai contoh kerana di United States (Amerika Syarikat), pasukan bomba yang dikendalikan orang awam tidak dianggap sebagai liabilitI kerana wujud kerjasama ketika kebakaran.

“Saya harap perkara ini tidak menjadi isu di negara kita sehingga niat baik pasukan sukarelawan tidak mendapat penghormatan yang lebih baik,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025, di Dewan Negara, hari ini.

Selain itu, Hussin mempersoalkan jaminan perlindungan undang-undang terhadap anggota PBS.

“Anggota PBS kadang-kadang mungkin melakukan kesilapan kerana mereka tidak dilatih secara profesional, tetapi tetap sanggup menyertai operasi kebakaran dan keadaan kecemasan lain,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap status PBS ditambah baik dengan dinaik taraf menjadi Jabatan Sukarelawan Bomba dan Penyelamat. – HARAKAHDAILY 25/3/2025

- Advertisement -