‘Apabila bomba tiba, rumah sudah habis terbakar’

Senator Abdul Nasir Idris
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu kelewatan pasukan bomba tiba di lokasi kebakaran, terutamanya di kawasan luar bandar perlu diberi perhatian serius.

- Advertisement -

Senator Abdul Nasir Idris berkata, meskipun tempoh masa yang ditetapkan dalam KPI adalah 40 minit, realitinya masih banyak kejadian di mana bantuan tiba terlalu lambat.

“Kadang-kadang, apabila bomba tiba, rumah sudah habis terbakar,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025, di Dewan Negara, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, ia mungkin disebabkan oleh beberapa faktor menyumbang kepada kelewatan tersebut.

“Mungkin dari segi laluan kereta bomba itu sendiri yang menyebabkan sampai lambat ataupun mungkin perhubungan di antara pasukan bomba dengan tempat kebakaran.

“Kadang-kadang ia juga berlaku disebabkan tekanan air yang rendah untuk memadamkan kebakaran tersebut,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berwajib dapat mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah ini bagi memastikan kebakaran dapat dikawal lebih awal, sekali gus mengurangkan kerugian harta benda dan risiko kehilangan nyawa.

“Jadi kita harapkan perkara ini dapat diperbaiki supaya tempoh masa ataupun kebakaran yang merebak itu dapat dikawal dengan secepat mungkin,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/3/2025

- Advertisement -