Pendidikan prasekolah: Kerajaan digesa bantu tadika swasta

Senator Hussin Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk turut membantu tadika swasta yang berperanan besar dalam pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di negara ini. 

- Advertisement -

Senator Hussin Ismail berkata, meskipun pendidikan merupakan tanggungjawab utama kerajaan, institusi prasekolah bukan kerajaan juga memainkan peranan penting dalam membangunkan anak-anak prasekolah. 

“Pertama, saya nak ucap tahniah atas kehebatan KEMAS dalam memenuhi ranking terbaik Nusantara mahupun serantau. 

“Cuma pendidikan memang tugasan utama kepada kerajaan. Tentu banyak tadika-tadika bukan kerajaan yang mempunyai peranan besar dalam membangunkan anak-anak prasekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Sehubungan itu, beliau ingin mengetahui sama ada terdapat maklumat mengenai tadika swasta yang turut memberi sumbangan besar dalam pendidikan awal kanak-kanak. 

“Ada tak yang mungkin dalam maklumat Yang Berhormat, tadika-tadika swasta yang juga mempunyai sumbangan besar? 

“Apakah peranan kerajaan dalam membantu tadika-tadika yang bukan kerajaan ini untuk turut memperkasa dan membantu peranan kerja yang juga merupakan kerja kerajaan yang dibantu oleh swasta?” katanya. 

Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dalam jawapannya berkata, negara ini mempunyai banyak tadika dan taska, sama ada milik kerajaan atau swasta, yang memberi sumbangan besar dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Namun menurutnya, rekod yang ada di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah hanya melibatkan Tabika KEMAS, yang baru-baru ini menerima pengiktirafan antarabangsa berdasarkan tinjauan lebih 8,000 responden mengenai kebolehpercayaannya.

Selain itu jelasnya, KEMAS sentiasa menjalankan latihan berterusan bagi meningkatkan kemahiran pendidik dalam memastikan kualiti pendidikan yang baik. – HARAKAHDAILY 24/3/2025

- Advertisement -