Singgah sahur santuni petugas barisan hadapan

Pemuda PAS

- Advertisement -

KANGAR: Program Singgah Sahur 2025 anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis bukan sekadar menyantuni petugas barisan hadapan, tetapi turut menjadi platform memperkukuh ukhuwah dalam kalangan pemuda di negeri ini.

- Advertisement -

Inisiatif tahunan ini menyaksikan penglibatan sukarelawan dan ahli Alternative Riding Club (ARC) yang bersama-sama menyampaikan juadah sahur kepada petugas di Balai Polis, Balai Bomba, hospital, dan beberapa lokasi lain di sekitar Padang Besar, Kangar dan Arau.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis, Haziq Asyraf Dun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri berkata, program ini telah berlangsung hampir 10 tahun dan menjadi bukti komitmen Pemuda PAS dalam menggerakkan peranan sosial.

“Kami bukan sahaja mahu menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan, tetapi juga mahu melatih generasi muda agar sentiasa cakna dengan masyarakat serta berperanan aktif dalam kebajikan.

“Program ini selaras dengan agenda Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis untuk memperkasakan hubungan antara pemuda dan masyarakat melalui aktiviti sukarelawan,” katanya kepada Harakahdaily, di sini hari ini.

Selain itu ujarnya, elemen konvoi bersama ARC telah menambahkan lagi semangat kebersamaan dalam kalangan peserta, menjadikan program ini lebih meriah dan bermakna.

Konvoi edaran yang bermula jam 11 malam semalam hingga 4:30 pagi ini dilepaskan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Mohd Shukri Ramli, dengan 200 pek makanan sahur diedarkan di 20 lokasi seluruh negeri. – HARAKAHDAILY 22/3/2025

- Advertisement -