
KANGAR: Seramai 50 penerima mendapat sumbangan dalam Semarak Kasih Ramadan anjuran Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial (LKKS) Dewan Muslimat PAS Negeri (DMPN) Perlis yang berlangsung di Kompleks PAS Kangar, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Wan Badariah Wan Saad berkata, program ini merupakan usaha berterusan bagi membantu golongan yang memerlukan, terutama menjelang Syawal.
“Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan, bulan di mana kita digalakkan untuk memperbanyakkan amal ibadah, sedekah dan membantu mereka yang memerlukan.
“Majlis sumbangan ini diadakan sebagai satu usaha untuk meringankan beban saudara-saudara kita agar mereka dapat menyambut Ramadan dan Syawal dengan lebih tenang serta penuh kesyukuran,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menyumbang dalam menjayakan majlis ini.
“Semoga segala sumbangan ini menjadi amal jariah yang berpanjangan dan mendapat ganjaran berlipat ganda daripada Allah SWT,” tambahnya.
Kepada para penerima, beliau berharap sumbangan tersebut dapat membantu dalam persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri.
“Kepada para penerima, anggaplah ini sebagai tanda kasih sayang dan keprihatinan daripada masyarakat sekeliling.
“Mudah-mudahan sumbangan ini dapat sedikit sebanyak membantu dalam persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba,” ujarnya.
Beliau juga mengajak masyarakat untuk terus mengamalkan budaya memberi dan saling membantu.
“Marilah kita teruskan budaya memberi dan saling membantu, kerana tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.
“Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita dan menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna buat kita semua,” katanya lagi.
Majlis turut dihadiri wakil LKKS PAS Pusat, Zurina Din serta pimpinan Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis. – HARAKAHDAILY 22/3/2025












