
JERAI: Pengamal media di Kedah disarankan agar menjadi agen menyemarakkan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, agar menarik lebih ramai pengunjung ke negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, perkara itu diharapkan menjadi fokus utama pada tahun ini kerana dengan limpahan pengunjung, secara tidak langsung menyemarakkan ekonomi Kedah.
“Melaporkan berita, berkongsi maklumat yang baik. Bukan sahaja boleh menjadi inspirasi dan teladan kepada orang lain. Tetapi juga membantu menunjukkan jalan yang kemudian dilaksanakan, si pelapor itu juga akan perolehi kebaikan,” tegas beliau.
Dato’ Azam berkata demikian pada majlis ‘moreh’ meraikan pengamal media Kedah, di Guar Chempedak, malam tadi.
Katanya lagi, beliau yakin semua pengamal media menghadapi cabaran yang besar dalam menunaikan tanggungjawab seharian.
Cabaran itu ujarnya, tidak tertakluk kepada sebahagian agensi media sahaja, tetapi menyeluruh sama ada media kerajaan mahupun swasta.
“Contohnya media kerajaan negeri seperti Urusetia Penerangan Darul Aman (UPDA), bekerja tak tentu masa. Ikut Menteri Besar, tak kira waktu, sampai tengah malam dan sebagainya.
“(Dan) saya rasa, media-media lain pun begitu, ada yang terpaksa bekerja hingga lewat malam,” tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau.
Walau bagaimanapun sarannya, dalam keadaan sesibuk manapun, Ramadan yang dilalui jangan dibiar berlalu begitu sahaja.
Apatah lagi katanya, fasa terakhir iaitu 10 malam terakhir, terdapat malam yang dijanji Allah pahala yang besar iaitu Lailatur Qadar.
“Jangan lupa ambil peluang Ramadan yang datang hanya setahun sekali, yang penuh kebaikan dan pengampunan Allah SWT,” kata beliau
Dalam pada itu Ustaz Azam berkata, beliau mengambil pendekatan yang sama seperti Ramadan tahun lalu, bertemu pengamal media dalam majlis ‘moreh’.
“Majlis ‘moreh’ ini lebih santai dan boleh berbual panjang, berbanding majlis berbuka puasa,” katanya lagi.
Pada majlis itu pengamal media yang hadir, turut menerima buah tangan berupa biskut raya, yang disampaikan oleh beliau.
Turut hadir, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Muhamad Mat Yakim. – HARAKAHDAILY 22/3/2025











