
KUALA LUMPUR: PAS menghargai peranan yang dimainkan oleh petugas-petugas parti dalam memastikan setiap urusan dirancang dapat berjalan dengan lancar.
Bendahari PAS, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, setiap perancangan tidak mungkin akan dapat dilaksanakan tanpa peranan petugas di pelbagai peringkat parti.
“Contohnya kita telah mengadakan pelbagai himpunan. Dalam himpunan-himpunan ini, parti boleh mengarahkan di peringkat atas, pusat.
“Di peringkat bawah sekali yang akan menggerakkan. Kemudian kita pergi ke negeri, negeri akan pergi ke kawasan dan kawasan akan pergi ke cawangan.
“Cawangan ini lah yang akan turun, ketuk pintu dan jumpa rakyat. Cawangan turun ke bawah, cari orang untuk keluar ke apa-apa sahaja himpunan yang dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Sumbangan Murabitun kepada 72 penerima daripada Wilayah Persekutuan, Selangor dan Skuad Upaya anjuran Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat (LKKSSP), di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi LKKSSP, Dr Rosni Adam dan Timbalan Pengerusi LKKSSP, Mohammad Faizal Che Yusof serta Ketua Unit Dana LKKSSP, Noor Hanim Ismail dan Pengerusi LKKSSP Wilayah Persekutuan, Abu Bakar Sedek.
Tambah Iskandar, terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi murabitun untuk memenuhi tanggungjawab dan menjalankan setiap gerak kerja yang diperlukan.
“Murabitun ini yang dia nak tahu adalah untuk menyelesaikan masalah orang lain. Kadang-kadang masalah diri sendiri pun tak selesai.
“Dia sendiri susah, tapi dia tak nak tengok orang lain susah. Parti lain tidak ada orang-orang macam ini. Kita ramai petugas-petugas yang bertugas tanpa ada apa-apa pulangan,” – HARAKAHDAILY 22/3/2025











