URA: Bukan tolak pembangunan, tapi lindungi hak warga

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS Selangor menegaskan bantahan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) bukan kerana menolak pembangunan, sebaliknya bagi memastikan hak penduduk asal tidak terjejas.

- Advertisement -

Setiausaha PAS Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata, kebimbangan utama ialah pindaan terhadap ambang persetujuan pemilik yang sebelum itu memerlukan 100 peratus persetujuan.

“Kebanyakan mereka yang masih salah faham terhadap pihak yang membantah RUU URA inilah adalah mereka yang menganggap kumpulan pembantah ini menolak pembangunan dan bantuan kepada penduduk asal yang tinggal di kawasan setinggan dan flat usang ini.

“Sejarah membuktikan sebaliknya, sering kali pembangunan yang mengenepikan dan menindas penduduk asal di tanah mereka terutamanya di bandar. Kerisauan-kerisauan yang wujud ini kuat dan kukuh.

“Kenapa perlu dibuat pindaan undang-undang kepada ambang persetujuan pemilik? Kenapa undang-undang sedia ada iaitu persetujuan 100 peratus pemilik asal tidak dikekalkan?” katanya dalam kenyataan di Facebook, pada Khamis.

Beliau berkata, pindaan itu berisiko menjejaskan nasib golongan minoriti yang tidak bersetuju dengan pembangunan di kawasan mereka.

“Bagaimana nasib pihak minoriti yang tidak bersetuju? Adakah pihak pemaju berkuasa meneruskan projek dan tidak mempedulikan kumpulan kecil ini? Jangan lupa nasib keluarga Melayu di Kampung Kerinci dan pembangunan Bandar Seri Sendayan,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa pembangunan itu mungkin akan mengubah komposisi penduduk dengan kehadiran warga asing dan golongan elit dari kaum lain, sekali gus memberi kesan kepada sosio-budaya masyarakat setempat.

“Sekiranya perkara itu berlaku, ia akan memberi kesan kepada sosio-budaya penduduk asal yang telah tinggal di situ sekian lama lalu menimbulkan rasa tidak selesa untuk terus menetap di situ.

“Kemungkinan besar mereka akan menjual kediaman mereka dan berpindah keluar. Nilai hartanah dan kediaman yang dimajukan tanpa kawalan pasti akan melonjak naik dan meningkatkan kos sara hidup di kawasan tersebut.

“Kesan kepada ekonomi sosial ini mengecilkan kemampuan majoriti penduduk asal untuk terus tinggal di situ kerana tidak mampu beradaptasi dan bertahan,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan semula di Razak Mansion, Kampung Kerinchi, Kampung Abdullah Hukum dan lain-lain kawasan di Kuala Lumpur telah merekodkan kawasan warisan orang Melayu hilang dan orang Melayu bandar yang miskin telah terpinggir.

Oleh demikian katanya, kerajaan mesti bersedia dengan pelan tindakan yang kukuh bagi menjamin semua kerisauan ini tidak berlaku.

“Cadangan daripada parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, profesional dan orang awam mesti diteliti dahulu sebelum menuduh mereka menolak membabi buta dan menolak pembangunan.

“Penduduk yang akan terkesan dengan URA ini tidak boleh berisiko besar keluar dari tempat mereka dan hilang hak dengan pindaan undang-undang oleh kerajaan,” katanya.

Justeru, katanya, kerajaan mesti meneliti semula cadangan itu agar rakyat tidak terlepas hak mereka disebabkan kesan pembangunan yang tidak seimbang dan adil kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 21/3/2025

- Advertisement -