Komited bangunkan sektor ekonomi tenaga lestari

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerjasama strategik antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan SRM Utama Selambau membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam melaksanakan peralihan tenaga secara berkesan.

- Advertisement -

Usaha itu juga dijangka dapat menyumbang kepada penyelesaian isu perubahan iklim di peringkat global, serta merangsang pertumbuhan dan pembangunan sektor ekonomi tenaga lestari di negeri Kedah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembangunan tenaga lestari ini adalah antara aspirasi negara untuk mencapai sasaran pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih sifar menjelang 2050.

“Kerjasama ini membuktikan kesungguhan Kedah dalam membantu merealisasikan matlamat perubahan iklim meskipun Malaysia hanya menyumbang kurang dari 0.7 peratus daripada GHG dunia.

“Perkara ini juga akan memberi impak positif kepada pembangunan negeri dalam meningkatkan lagi pelaburan dan menarik lebih banyak syarikat korporat yang memerlukan bekalan tenaga hijau,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Pajakan Tanah antara PKNK dan Syarikat SRM Utama Selambau Sdn Bhd yang berlangsung di Wisma PKNK, di sini semalam.

Dalam pada itu tegas Sanusi, kerajaan negeri sentiasa menyokong sebarang bentuk kerjasama antara pihak awam dan swasta dalam membangunkan Loji Tenaga Solar Berskala Besar di Kedah.

Kerjasama dan sokongan itu kata beliau, pastinya demi kesejahteraan dan kemakmuran serta pembangunan ekonomi khususnya kepada rakyat Kedah.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKNK, Dato’ Wira Isahak Murat. – HARAKAHDAILY 21/3/2025

- Advertisement -