
ALOR SETAR: Seramai 1,480 orang golongan sasaran bakal menerima sumbangan Aidilfitri daripada kerajaan negeri yang akan diagihkan ke 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Kedah.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah menyempurnakan gimik penyerahan sumbangan dalam satu majlis di Wisma Darul Aman, kelmarin.
Pada majlis itu, beliau menyampaian sumbangan kepada 40 penerima dari DUN berdekatan, manakala yang lain akan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) dan Penyelaras DUN masing-masing.
Inisiatif itu secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban golongan sasaran seperti fakir miskin, ibu tunggal, anak-anak yatim, muallaf dan lain-lain untuk menyambut hari lebaran hujung Mac ini.
Apatah lagi, dalam suasana ekonomi semakin mencabar dan harga barangan keperluan semakin meningkat.
Sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri ini menjadi rutin tahunan kepada kerajaan negeri dalam usaha meluaskan kebajikan kepada golongan sasaran dan lain-lain.
Malah sepanjang Ramadan ini juga, kerajaan negeri terus komited meraikan sukarelawan kampung seperi guru Al-Quran dan fardhu Ain, bidan, mudim, penggali kubur, pengurus jenazah, muallaf dan lain-lain di setiap daerah di negeri Kedah. – HARAKAHDAILY 21/3/2025











