
KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk wakil kerajaan berada dalam Majlis Media Malaysia kerana ia bertentangan dengan prinsip kebebasan media yang sering dilaungkan oleh kerajaan.
Senator Musoddak Ahmad berkata, meskipun kerajaan mengambil langkah proaktif menubuhkan majlis tersebut, kehadiran wakil kerajaan dalam majlis akan membuka ruang kepada campur tangan yang boleh menjejaskan integriti badan tersebut.
“Dalam Fasal 8(1B), dinyatakan bahawa dua individu akan dilantik oleh menteri sebagai wakil kerajaan dalam majlis ini.
“Ini jelas menunjukkan pengaruh kerajaan dalam sebuah badan yang sepatutnya bebas. Bagaimana kebebasan media boleh dicapai jika kerajaan masih mempunyai kawalan?” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 di Dewan Negara, hari ini.
Menurut beliau, jika wakil kerajaan dibenarkan berada dalam majlis tersebut, adakah perlu juga pihak pembangkang atau pihak berkepentingan lain turut dilantik bagi menyeimbangkan peranan kerajaan dalam majlis itu.
“Tentu sekali tidak. Sebab itu, peruntukan ini perlu dikaji semula oleh kementerian. Biarlah Parlimen yang bertanggungjawab memantau aktiviti dan perjalanan Majlis Media Malaysia bagi memastikan ia benar-benar mematuhi etika kewartawanan yang sebenar,” ujarnya.
Musoddak turut menggariskan tujuh prinsip kebebasan media yang perlu diberi perhatian, antaranya kebebasan daripada kawalan kerajaan, ketelusan dalam laporan, perlindungan terhadap wartawan, serta hak rakyat untuk mengakses maklumat kerajaan yang tidak tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Jelasnya, jika kerajaan benar-benar komited terhadap kebebasan media, langkah pertama yang perlu diambil adalah memastikan majlis itu bebas daripada sebarang pengaruh politik. – HARAKAHDAILY 19/3/2025











