
KOTA BHARU: Islam mengangkat tinggi martabat wanita serta mengiktiraf peranan mereka dalam pembangunan masyarakat, kata isteri Menteri Besar, Datin Panglima Perang Datin Wan Nor Hanita Wan Yaacob.
Beliau berkata, wanita bukan sekadar memainkan peranan sebagai ibu, isteri atau anak, tetapi juga agen perubahan yang berupaya membentuk generasi cemerlang.
Menurutnya, di sebalik kehebatan dan ketokohan seseorang lelaki, pasti ada seorang ibu yang mengasuh serta mendidiknya, selain isteri yang menjadi tulang belakang serta sumber kekuatan.
“Inilah bukti betapa pentingnya peranan wanita dalam melahirkan dan membentuk pejuang yang bangkit membela agama Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Perdana Wanita sempena Madinah Ramadan yang berlangsung di Dewan Madinah Ramadan, Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, petang semalam.
Program itu turut menampilkan dua selebriti sebagai panel jemputan iaitu Ustazah Asmak Husin dan Heliza Helmi yang mengupas tajuk ‘Wanita Dambaan Syurga’.
Moderator forum tersebut ialah Pengarah Undang-Undang Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Wan Norihan Wan Hussein.
Datin Wan Nor Hanita turut menegaskan bahawa Islam meletakkan wanita pada kedudukan yang mulia, penuh penghormatan serta keagungan.


“Tokoh-tokoh seperti Sayyidatina Khadijah, Sayyidatina Aisyah dan Fatimah az-Zahra RA menjadi bukti bahawa wanita memiliki tempat istimewa dalam Islam,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi PUSPANITA MPKB-BRI, Asrina Muhammad dalam ucapannya berkata, penganjuran forum tersebut memberi peluang kepada wanita untuk memperkasa ilmu, khususnya berkaitan nilai-nilai Islam sebagai panduan kehidupan.
Menurutnya, beberapa perkara dapat dibincangkan dalam program itu termasuk keistimewaan wanita dalam Islam, tanggungjawab mereka dalam keluarga serta bagaimana menjadi wanita yang dimuliakan Allah.
“Hal ini membuka ruang bagi mereka meningkatkan kefahaman dan pengetahuan,” ujarnya.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Rohani Ibrahim dan Puan Sri Datin Bentara Setia Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak serta Datin Bentara Kanan Datin Zabedah Abdul Hamid dan tetamu kehormat lain.
Program anjuran MPKB-BRI itu dihadiri hampir 800 golongan wanita dari pelbagai latar belakang. – HARAKAHDAILY 18/3/2025













