
TENTERA Israel sedang melakukan ‘serangan meluas’ di Gaza pada awal pagi hari ini (Selasa, 18 Mac 2025) sekurang-kurangnya 200 kematian termasuk wanita dan kanak-kanak dalam serangan udara paling sengit sejak gencatan senjata 19 Januari 2025 bermula. Dilaporkan lebih 78 angka korban di Selatan Gaza sahaja.
Perkhidmatan Kecemasan Awam Palestin melaporkan bahawa tentera Israel melakukan sekurang-kurangnya 35 serangan udara di seluruh Semenanjung Gaza.
Dengan ini Israel ‘secara unilateral’ telah menamatkan gencatan senjata dan dilihat mustahil akan meneruskan sebarang rundingan fasa kedua dengan pihak HAMAS.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) tidak memberikan butiran lanjut mengenai serangan itu tetapi Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata dalam satu kenyataan yang dipetik oleh media Israel bahawa serangan itu mempunyai ‘matlamat untuk mencapai objektif perang seperti yang ditentukan oleh kepimpinan politik, termasuk pembebasan semua tebusan sama ada hidup atau mati’.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata telah berakhir dua minggu lalu, namun Israel enggan melaksanakan fasa kedua seperti dijadualkan yang sepatutnya berakhir dengan pengunduran tentera dari Gaza, pembebasan semua tebusan yang masih berbaki dalam tahanan Hamas dan menamatkan perang secara kekal.
Rejim Israel juga telah menyekat semua bantuan kemanusiaan dari masuk ke Gaza sejak dua minggu lalu yang melanggar perjanjian gencatan senjata dalam usaha untuk memaksa HAMAS menerima tuntutannya.
Tindakan itu telah dikecam oleh banyak negara termasuk UK, Perancis dan Jerman.
HAMAS telah menegaskan bahawa mereka hanya akan membebaskan tebusan jika Israel menarik balik sekatannya, berundur dari koridor strategik di sepanjang sempadan Gaza dengan Mesir dan membebaskan lebih ramai tahanan Palestin.
IMRAN AL-MALIZI – HARAKAHDAILY 18/3/2025
Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/16FYAmwJve/
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











