
GEORGE TOWN: Usia tidak menghalang seseorang itu menjadi pempengaruh terkenal sehingga mampu meraih ratusan ribu pengikut.
Nariah Ahmad atau Kak Cik Yah walaupun sudah berumur 74 tahun tetapi mampu memiliki pengikut di medan TikTok menjangkau hampir 200,000 orang.
Kebanyakan ‘follower’ beliau gemar dengan celotehnya, apabila memuat naik video memasak yang dikendali oleh beliau sendiri.
Ada netizen yang bergurau di ruangan komen “wah! makcik ini dah seperti Khairul Aming”, dan lain-lain lagi.
Anak kelahiran Mata Ayer, Perlis ini juga terkenal dengan jolokan ‘nenek online’ malah babak beliau menumbuk bahan kisar menggunakan lesung batu, memberi keterujaan kepada warganet yang menonton aksinya.
Kak Cik Yah sebelum ini juga pernah digelarkan ‘Makcik Karipap’ sebelum beliau menempa nama di platform TikTok dengan pelbagai menu masakannya.
Perjalanan karier baharunya sebagai pempengaruh bermula pada pertengahan tahun lepas apabila dia memuat naik resipi kerabu mangga Thailand di akaun media sosial miliknya.
“Saya pun tak sangka orang ramai suka dengan celoteh saya ketika memasak. Saya memang minat memasak dan merakam video. Jadi, saya buat sendiri sahaja.
“Dulu saya tak tahu guna telefon, sekarang saya sudah pandai rakam dan balas komen,” katanya yang kini menetap di Flat Kampung Melayu, di sini.
Terdahulu video resipi kerabu mangga Thailand itu telah ditonton lebih sejuta pengguna dan secara tidak langsung, melonjakkan namanya di layar atas talian.
Baru-baru ini, beliau dikunjungi wakil pengusaha kambing perap yang terkenal di Malaysia terutama di utara.
Pada kunjungan itu, Nariah diberi sumbangan berupa kelengkapan dapur seperti kuali, periuk, ketuhar, mesin pengisar dan lain-lain.
Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada warga seangkatan dengannya, agar membuat sesuatu yang baharu dalam kehidupan dan berkongsi ilmu bermanfaat kepada orang ramai. – HARAKAHDAILY 15/3/2025











