
KUALA LUMPUR: Isu kartel bazar Ramadan yang terus berulang saban tahun pada setiap kali bulan mulia ini tanpa penyelesaian tuntas pihak berkuasa telah menafikan hak peniaga kecil untuk berniaga secara adil.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, isu kartel turut membebankan pengguna dengan harga yang tidak munasabah akibat monopoli sewa tapak secara melampau.
“Setiap Ramadan, kita menyaksikan bagaimana kumpulan tertentu menguasai tapak bazar melalui pelbagai taktik kotor, termasuk pengaruh politik, rasuah, dan manipulasi sistem penyewaan.
“Akibatnya, peniaga kecil dipaksa membayar harga sewa yang berlipat kali ganda atau tersisih sepenuhnya daripada peluang berniaga.
“Lebih membimbangkan, fenomena ini sering kali dibiarkan berlarutan tanpa tindakan tegas daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau dalam pada itu menegaskan bahawa tindakan membiarkan kartel terus bermaharajalela di bazar Ramadan adalah satu pengkhianatan terhadap semangat keadilan dan integriti.
Justeru, pihaknya menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta kerajaan negeri dan PBT untuk mengambil langkah berani dalam membasmi kartel ini.
“Rakyat Malaysia berhak menikmati bazar Ramadan yang bebas daripada manipulasi dan penindasan. Peniaga kecil pula berhak berniaga dengan adil tanpa perlu tunduk kepada kerakusan pihak tertentu.
“MCW tidak akan berdiam diri dan akan terus menekan pihak berkuasa untuk bertindak terhadap mereka yang mengkhianati kepercayaan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2025











