
KUBANG PASU: Kunjungan Dr Haim Hilman Abdullah ke Bazar Ramadan, Taman Sri Aman, Jitra, secara tidak langsung menambah kemeriahan suasana jual beli di bazar berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu, bukan sekadar menyantuni para peniaga, sebaliknya turut membeli barangan jualan dan agihkan kepada orang ramai sebagai juadah berbuka puasa.
“Seronok dapat berkongsi rezeki dengan orang ramai,” kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri.
Menerusi video berdurasi lebih daripada satu minit dimuat naik di media sosialnya, beliau kelihatan mengagihkan makanan yang dibeli dari peniaga bazar kepada para pengunjung.
Selain itu, Haim turut beramah mesra dan bertanya khabar ketika makanan itu diagihkan kepada orang ramai yang ternyata gembira dan ceria menyambut sapaannya.
Malah pengunjung bukan Islam juga, turut menerima makanan yang beliau agihkan dan merakamkan penghargaan mereka kepada kemurahan dipamerkan beliau.
Sementara, pada perkembangan lain, beliau terdahulu menyampaikan beberapa bantuan dan sumbangan yang diadakan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Jitra.
Sumbangan tersebut, termasuklah bantuan pendidikan, peralatan sukan,barangan perniagaan seperti khemah dan lain-lain, juga kepada mereka yang ditimpa musibah ribut, bantuan baiki rumah, kerusi roda dan lain-lain.
“Inilah antara sumbangan kebajikan yang PKWR berikan untuk membantu kepada yang memerlukan,” kata bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia itu lagi. – HARAKAHDAILY 15/3/2025












