
TANAH MERAH: Setiap kali kedatangan Ramadan, suasana pada waktu malam tidak kira ke kedai makan mahupun di masjid menjadi meriah dengan aktiviti moreh dan colek selepas solat tarawih.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemahang, Mejar Dato’ Md Anizam Ab Rahman bahkan menggunakan wadah itu untuk menyelami serta menyelesaikan masalah membabitkan penduduk tempatan.
“Dalam santai menikmati colek selepas solat terawih sambil kita berbincang tentang permasalah rakyat, bukan untuk mencari salah sesiapa, tetapi mencari penyelesaian bersama,” katanya.
Hampir setiap malam Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan itu menjelajah segenap ceruk kampung dan mukim dalam DUN Kemahang.
Beliau akan bersama penduduk bagi mengimarahkan program Ihya’ Ramadan yang dilancarkan oleh Badan Perhubungan PAS Kelantan beberapa hari sebelum umat Islam menunaikan ibadah puasa.
Menurutnya aktiviti itu bermula dengan solat Isyak berjemaah, diikuti dengan solat terawih dan diakhiri dengan jamuan moreh termasuk colek yang sinonim dengan rakyat Kelantan.
Colek merupakan makanan yang mengandungi campuran udang, paru, ikan, bebola ikan, sosej, isi ketam, isi udang, keropok lekor, popia, kerang dan jemput-jemput ‘malas’ serta colek buah-buahan.
Oleh sebab itu, ramai pengusaha kedai makan dan restoran menyediakan juadah tersebut kerana sambutan diterima sangat mengalakan untuk dimakan bersama keluarga dan sahabat handai. – HARAKAHDAILY 15/3/2025












