
KOTA BHARU: Ramadan yang disambut oleh umat Islam seluruh dunia menjadi satu-satu harapan bagi penduduk Gaza untuk menyemarakkan lagi keberkatan pada bulan yang digandakan pahala amalan.
Sehubungan itu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Suara Gaza meneruskan kutipan derma bagi membantu rakyat di wilayah tersebut untuk menjalani ibadah berbuka puasa dalam keadaan lebih baik.
“Kita melaksanakan program ini setiap hari dengan menyediakan roti kosong atau nasi sebagai juadah istimewa dan meneruskan menyediakan bekalan air bersih kepada penduduk Gaza.
“Sekiranya sumbangan disalurkan kepada kami sebelum enam petang, insyaAllah pihak kami akan melaksanakan pada hari sama,” kata Pengerusinya, Nazri Deraman dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perang yang tercetus pada bulan Oktober 2023 menyebabkan bangunan musnah, penduduk kehilangan tempat tinggi serta mencetuskan kebuluran meluas akibat sekatan.
Akibat tindakan itu katanya, penduduk Gaza amat mengharapkan bantuan luar khususnya negara-negara umat Islam bagi menjalani ibadat puasa sempurna dalam keadaan dan kehidupan serba kekurangan.
Suara Gaza sebelum ini dengan kerjasama 10 NGO di Kelantan berjaya mengutip dana sebanyak RM2 juta untuk dihantar kepada wakilnya di Gaza untuk menyediakan bekalan air bersih dan makanan.
Malah pihaknya turut menjalinkan hubungan NGO dari Indonesia dan Brunei termasuk Malaysia untuk meningkatkan semula sokongan rakyat kepada kehidupan penduduk Gaza khasnya ketika Ramadan.
Penyumbang perlu memaklumkan resit bank kepada pihaknya melalui aplikasi WhatApps serta akan diberikan laporan bergambar mengenai aktiviti bantuan sebagai bukti pelaksanaan program.
Sumbangan berbuka puasa melalui Gabungan NGO Suara Gaza (Suara Gaza) ke akaun Pertubuhan R Kelantan 03120010000318 Bank Islam atau hubungi ditalian 0139811605 dapatkan maklumat lanjut. – HARAKAHDAILY 15/3/2025













