
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok wajar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dua bekas pegawainya yang dikatakan menyalahgunakan dana diperuntukkan kepada ahli parlimen.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan Kok yang menyatakan SPRM boleh memulakan siasatan tanpa menunggu aduan rasmi adalah sesuatu yang benar.
“Tetapi dalam kes bekas pegawainya yang dikatakan menyalahgunakan dana yang diperuntukkan kepada ahli parlimen, beliau sepatutnya tampil sendiri membuat laporan kepada SPRM,” ujar Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Menurutnya, di bawah Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), mana-mana individu yang mengetahui tentang perlakuan rasuah mempunyai kewajipan untuk melaporkan perkara tersebut kepada SPRM.
Oleh itu kata Ahmad Fadhli, kegagalan untuk berbuat demikian boleh menyebabkan individu itu termasuk sebagaimana dalam kes dihadapi Teresa Kok dikenakan tindakan di bawah peruntukan yang sama.
“Maka, kenyataan Teresa Kok bahawa SPRM boleh bertindak tanpa aduan rasmi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab asas sebagai seorang wakil rakyat yang berintegriti,” katanya dalam kenyataan.
“Jika seorang Ahli Parlimen yang berpengalaman seperti Teresa Kok sendiri boleh diperdaya mengikut dakwaan beliau sendiri oleh pegawainya sehingga berlaku penyelewengan dana, apakah jaminan bahawa Ahli Parlimen lain juga tidak mengalami situasi yang sama?
“Berdasarkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Zaleha Mustafa pada 13 Februari 2024, setiap Ahli Parlimen kerajaan menerima peruntukan sebanyak RM1.7 juta setahun bagi tempoh 2023 hingga 2024,” ujarnya.
Ahmad Fadhli sehubungan itu menggesa satu audit forensik yang menyeluruh perlu dijalankan terhadap peruntukan diberikan kepada Ahli-ahli Parlimen kerajaan.
“Ini merupakan jumlah yang besar dan memerlukan ketelusan dalam pengurusannya. Kerajaan perlu memastikan bahawa tiada sebarang ketirisan berlaku, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini.
“Alangkah janggalnya apabila Ahli Parlimen pembangkang dinafikan peruntukan dengan alasan kononnya mereka mungkin menyalahgunakan dana, sedangkan dalam kes ini, yang terbukti didakwa berlaku penyelewengan adalah dalam pengagihan peruntukan Ahli Parlimen kerajaan sendiri,” katanya.
Jelas Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi, tindakan kerajaan yang memilih kasih dalam soal peruntukan semakin menunjukkan ketidaktelusan dan kejanggalan dalam dasar mereka.
“Rakyat berhak mengetahui ke mana wang mereka disalurkan dan kerajaan mesti bertanggungjawab memastikan setiap sen digunakan dengan betul.
“Alangkah ruginya jika peruntukan ini tiba-tiba disalahguna seperti dalam kes Teresa Kok, bayangkan berapakah penjimatan yang boleh dilakukan oleh kerajaan dan ia boleh dibelanjakan pula untuk bail-out mana-mana syarikat strategik yang didapati rugi.
“Kes ini perlu dijadikan iktibar agar langkah-langkah kawalan yang lebih ketat diambil dan tidak hanya bergantung kepada tindakan reaktif selepas penyelewengan berlaku.
“Jika benar kerajaan mengutamakan ketelusan dan integriti, audit forensik ke atas peruntukan Ahli Parlimen kerajaan harus menjadi keutamaan sekarang. Audit forensik ini lebih perlu dilakukan terhadap Ahli-Ahli Parlimen yang juga memegang jawatan sebagai menteri,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/3/2025











