
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak perlu berdolak-dalik berhubung isu pemberian sebanyak RM1.1 bilion kepada syarikat Sapura Energy Berhad (SEB) yang didakwa sebagai suntikan pelaburan untuk dijadikan sebagai modal pinjaman.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kerajaan perlu bertindak jujur dengan mengatakan bahawa suntikan itu adalah satu langkah ‘bailout’ demi menjaga kepentingan yang ada di bawah SEB.
“Tidak perlu berdolak-dalik kata ‘injection capital’lah, pinjaman, ekuitilah. Rakyat dan ‘market’ pasaran tidak boleh dibohong dengan perkara yang sebegini ‘inconsistent’.
“Bila dah biasa terbohong, pembohongan itu perlu ditutup dengan pembohongan yang lain. Kerajaan Madani ini tidak faham-faham ke yang kamu tidak boleh menipu rakyat berkali-kali? Sebab pasti akan kantoi.
“Jadi mengaku saja ia satu ‘bailout’ dan apa yang (Datuk Seri) Najib Razak kata dulu adalah benar dan tak perlu lagi malu-malu kucing. Cakap saja memang kamu ‘bailout’ Sapura,” katanya menerusi satu hantaran video di laman Facebook.
Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini mendakwa bahawa dana tersebut adalah pelaburan strategik oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam bentuk saham boleh ditukar, bukan bantuan kewangan tanpa pulangan.
Menurutnya, tindakan terhadap SEB tidak boleh dianggap sebagai ‘bailout’ kerana dana tersebut hadir dengan syarat khusus, iaitu dalam bentuk saham boleh ditebus dan ditukar menjadi pegangan saham.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula mendakwa suntikan sebanyak RM1.1 bilion kepada SEB itu bukan berbentuk dana hangus, sebaliknya pinjaman yang perlu dibayar semula syarikat itu.
Suntikan itu katanya dijadikan sebagai modal pinjaman dan akan dipulangkan semula apabila pengurusan syarikat memperoleh keuntungan. – HARAKAHDAILY 14/3/2025











