Pastikan anak syarikat agensi berdaya saing, elak kerugian

Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Langkah yang lebih teliti perlu diambil dalam memastikan anak syarikat di bawah agensi kerajaan benar-benar berdaya saing sebelum ditubuhkan.

- Advertisement -

Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz membuat gesaan itu bagi mengelakkan anak syarikat berkenaan mengalami kerugian besar yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, walaupun terdapat anak syarikat yang berjaya menjana keuntungan, tidak kurang juga yang terpaksa ditutup akibat kerugian atau faktor lain.

Keadaan ini, katanya, membantutkan matlamat asal penubuhan syarikat-syarikat tersebut yang sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat.

“Oleh itu, apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan bagi memastikan jika ada anak syarikat baharu yang akan ditubuhkan benar-benar telah melalui kajian dan unjuran kebolehsaingan di pasaran terbuka agar fenomena kerugian ini dapat diatasi?” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut meminta kerajaan menjelaskan sejauh mana keuntungan yang diperoleh oleh anak syarikat yang berjaya telah memberi manfaat kepada komuniti setempat, khususnya dalam meningkatkan taraf hidup rakyat serta menyediakan peluang pekerjaan.

Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Hajah Rubiah Wang berkata, kerajaan sentiasa memastikan tadbir urus syarikat milikan agensi mematuhi prinsip ketelusan serta mengamalkan tadbir urus korporat terbaik.

“Untuk makluman Yang Berhormat, secara keseluruhan terdapat 122 anak syarikat subsidiari di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Daripada jumlah itu, 19 anak syarikat telah ditutup, 20 domain dan kini hanya 100 anak syarikat yang kekal aktif,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2025

- Advertisement -