
SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mempersoal tindakan segelintir Ahli Dewan Negeri (ADN) Pakatan Harapan yang akhir-akhir ini galak meraih simpati politik dengan menggunakan proksi kerajaan bagi program pengimarahan Ramadan.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor, Abdul Basith Abdul Halim berkata, tindakan itu jelas menyanggahi titah baginda Sultan Selangor berkenaan larangan ahli politik untuk berpolitik di masjid.
“Sebagaimana yang dititahkan baginda Tuanku Sultan Selangor, masjid dan surau adalah pusat ibadah, pusat ilmu dan pusat penyatuan umat Islam. Maka, masjid dan surau tidak sepatutnya dijadikan wadah bagi tujuan kepentingan politik.
“Titah baginda pada 4 Januari 2023 ini seharusnya terpakai sehingga ke saat ini demi memastikan keharmonian hidup rakyat Selangor terus terjaga,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pada 10 Mac 2025 jelasnya, Masjid al-Firdaus, Bandar Baru Selayang telah menganjurkan Majlis Sumbangan Imarah Masjid dan Surau bagi DUN Taman Templer.
Namun katanya, ia merupakan sebuah program yang tidak berlandaskan hasrat baginda Tuanku Sultan Selangor kerana program tersebut melibatkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Anfaal Saari dan dilaksanakan di ruangan masjid.
“Masjid adalah institusi perpaduan buat umat Islam, dan tidak sepatutnya ia dipergunakan untuk kepentingan peribadi mahupun politik.
“Adakah ADN Taman Templer cuba menyalahgunakan jawatan di dalam kerajaan untuk meraih simpati politik dengan memperluas pengaruh di masjid?
“Mengapa tidak menggunakan kemudahan dewan-dewan serbaguna Majlis Perbandaran Selayang untuk aktiviti sebegini? Apakah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sudah memberi kelonggaran untuk ahli politik membuat program di dalam masjid?
“Sekiranya ada, seharusnya ADN Perikatan Nasional juga tidak dihalang untuk menyantuni masyarakat di masjid-masjid atas kapasiti wakil rakyat tanpa ada unsur politik kepartian,” ujarnya.
Maka, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor katanya, menuntut kerajaan memberi jawapan menyeluruh berkenaan isu itu.
“Berpolitiklah secara matang dan sejahtera. Masjid perlu dijadikan medan untuk masyarakat bersatu-padu tanpa mengira latar belakang parti, kaum mahupun taraf kehidupan.
“Jangan biarkan budaya politik sempit yang gemar menggunakan kesempatan ini terus memecah-belahkan rakyat!” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2025











