
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membuktikan komitmen terhadap reformasi institusi Parlimen dengan memastikan kebebasan penuh Yang di-Pertua Dewan Rakyat daripada sebarang pengaruh politik.
Pengarah Komunikasi Strategik Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nazrul Nazir berkata, perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden dalam perbahasan Rang Undang-undang Pindaan Parlimen baru-baru ini, susulan beberapa keputusan Speaker Dewan Rakyat yang dilihat berat sebelah.
“Mengapakah Ahli Parlimen Alor Setar membangkitkan persoalan ini? Kerana terdapat keputusan Speaker yang dilihat berat sebelah sepertimana isu larangan penggunaan perkataan ‘derhaka’ dan ‘adendum’, yang menunjukkan tiada kebebasan mutlak dalam Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nazrul mencadangkan agar institusi Speaker Dewan Rakyat diperkuat dengan melantik Timbalan Yang di-Pertua daripada kalangan Ahli Parlimen pembangkang bagi memastikan keadilan dalam Parlimen.
“(Ia) supaya dapat meningkatkan keadilan dalam Parlimen. Selain itu, Speaker perlu meletakkan semua jawatannya dalam parti politik mereka sepertimana yang diamalkan di United Kingdom,” katanya.
Nazrul mempersoalkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kebebasan Parlimen dan melaksanakan reformasi institusi seperti yang dijanjikan sebelum ini.
“Persoalannya, adakah kerajaan bersedia untuk memastikan Speaker Dewan Rakyat benar-benar bebas daripada pengaruh politik dan melaksanakan reformasi institusi Parlimen seperti yang dijanjikan?
“Atau ia hanya suatu wayang dan retorik sahaja atas nama reformasi?” katanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2025











