Henti berbohong, berlaku jujur, berikan keadilan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) bahawa seorang ahli parlimen layak menerima elaun tetap sebanyak RM25,700 sebulan merupakan tindakan tidak jujur oleh pihak kerajaan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kenyataan itu jelas satu pembohongan dan percubaan menutup pekung mereka sendiri setelah pihak pembangkang dan rakyat mendedahkan fakta dan kebenaran sebenar.

“Antara contoh yang diputar belitkan ialah seolah-olah elaun kehadiran sebagai anggota PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) diberikan kepada semua ahli-ahli parlimen, walhal hanya beberapa kerat saja yang jadi anggota mesyuarat.

“Itu pun elaun tersebut diguna belanjakan untuk menampung kos penginapan, pengangkutan dan makanan ketika hadir mesyuarat. Kerajaan dan Perdana Menteri perlu hentikan pembohongan! Berlaku jujurlah! Berikan keadilan!” katanya dalam satu kenyataan.

PMO dalam satu kenyataannya semalam mengeluarkan jumlah elaun tetap itu, selain elaun dan tuntutan lain yang ditetapkan mengikut kelayakan.

Antaranya ialah Elaun Hadir Persidangan (RM400 sehari), Elaun Mesyuarat Ahli PAC (RM250 sehari), Elaun Mesyuarat Taklimat Rasmi (RM300 sehari) dan Elaun Hidup Harian (RM100 sehari).

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mendakwa gaji yang diterima ahli parlimen termasuk pelbagai elaun boleh mencecah sehingga antara RM30,000 hingga RM40,000.

“Hendak jadi hero jalanan belajar dahulu, jadi sekarang dia gunakan isu (peruntukan) ini jadi riuh rendah. Ada yang katakan kami sampai miskin berhutang, hendak tahu gaji ahli Parlimen semua mencecah RM30,000 ke RM40,000,” dakwanya. – HARAKAHDAILY 12/3/2025

- Advertisement -