
AMPANG: Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Dato’ Ahmad Amzad Hashim menyifatkan cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) sebagai ancaman kepada kedaulatan tanah orang Melayu.
Beliau berkata, URA bukan sekadar berkaitan pembangunan semula kawasan bandar, tetapi turut merangkumi strategi penguasaan tanah serta perubahan populasi yang boleh memberi kesan kepada landskap politik negara.
“Setiap kali kita bercakap mengenai isu tanah, ia berkait rapat dengan kuasa. Tanah adalah kuasa. Tanpa tanah, kita tidak mempunyai sebarang pengaruh. URA ini merupakan ancaman terhadap kedaulatan kita sebagai pemilik asal tanah di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa Seminar dan Iftar Memahami Ancaman Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang berlangsung di Kelab Darul Ehsan, di sini hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu, pelaksanaan URA boleh memberi implikasi besar kepada pemilikan tanah Melayu, khususnya dalam usaha mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan serta persempadanan kawasan pilihan raya menjelang 2026.
“Kita tahu bahawa DAP telah menyuarakan tuntutan untuk memiliki sekurang-kurangnya 80 kerusi selamat di Parlimen. Ini sebahagian daripada strategi mereka yang perlu kita beri perhatian,” katanya.
Rancangan rapi tangani URA
Beliau berkata, PAS melalui Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah telah mengambil langkah awal bagi menangani isu itu dengan menganjurkan perbincangan meja bulat bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak awal 2024.
Selain itu, usaha libat urus bersama Ahli-ahli Parlimen dan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) seperti Dato’ Sri Ismail Mutalib turut diadakan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai cadangan akta berkenaan.
“Kita telah menerima memorandum daripada NGO-NGO berkaitan dengan Akta Pembaharuan Semula Tanah yang sebelum itu apa ni didahului dengan perhimpunan NGO di Parlimen melibatkan lebih 31 NGO.
“Dan kita bersyukur bahawa isu ini telah merentasi semata-mata soal PAS saja, bukan. Dia telah di peringkat PAS, Perikatan Nasional, seluruh orang Melayu di mana kita dapati mula disebut diulang sama apa yang kita sebut kebimbangan yang sama oleh Ketua Penerangan Umno Pulau Pinang telah membuat kenyataan dan dilaporkan.
“Begitu juga kita dapat lihat adanya kenyataan di dalam Parlimen oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq dan juga adanya kenyataan oleh Ahli Parlimen daripada Pasir Gudang, daripada pemimpin kerajaan sendiri, dan juga ada kenyataan oleh tokoh-tokoh masyarakat yang besar, yang jiwa mempunyai nama yang besar termasuk Tun Mahathir sendiri,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kebimbangan terhadap URA bukan hanya dirasai oleh orang Melayu tetapi juga masyarakat India dan peniaga Cina yang bimbang terhadap kesan polarisasi kaum serta kestabilan ekonomi akibat pelaksanaannya.
“Masyarakat India antara yang paling awal akan menjadi mangsa gentifikasi sekiranya URA dilaksanakan. Malah, peniaga Cina juga mula menyedari bahawa perubahan demografi ini boleh menjejaskan kestabilan politik dan perniagaan mereka,” katanya.
Jawapan kerajaan tidak meyakinkan
Dalam pada itu, Ahmad Amzad turut mempersoalkan jaminan kerajaan bahawa URA akan membuka lebih banyak peluang pemilikan hartanah kepada orang Melayu.
“Macam mana orang Melayu nak dapat? Adakah ada sebarang skim apa ni sokongan yang betul-betul akan membantu? Sebab setakat ini setiap kali kata jamin orang Melayu akan dapatkan akhir sekali orang Melayu betullah benda itu diberi tapi kita tak mampu, betul mahal. Tak mampu.
“Akhir sekali, yang akan berlaku sama dengan yang Forest City. Akhir sekali, dia orang datang balik buat satu undang-undang baru suruh Ahli Parlimen luluskan bagi macam-macam insentif.
“(Ia) supaya boleh jual aset yang telah dibangunkan ni dengan bagi macam-macam kemudahan pada warga asing ni. Bebas cukailah, bebas eksais lah, apalah diluluskan di Parlimen sekarang ni. Itu yang berlaku. Warga asing masuk berbondong-bondong beli hartanah yang tak terjual oleh pemaju,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/3/2025











