
AMPANG: Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat telah menganjurkan Seminar Memahami Ancaman Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) dan Majlis Iftar yang berlangsung di Kelab Darul Ehsan, di sini hari ini.
Seminar ini telah dihadiri oleh hampir 200 tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat, Pemuda PAS Malaysia, Muslimat Muda, siswa dan siswi serta pempengaruh media sosial.
Seminar itu bertujuan untuk menggalakkan lebih banyak perbincangan awam mengenai isu besar sedang berbangkit berkaitan RUU URA yang dijangka dibentangkan di Parlimen pertengahan tahun ini.
Ia juga bertujuan untuk memastikan perbincangan awam tidak terhad kepada kebimbangan semata-mata, sebaliknya disertai dengan pendedahan yang bersifat ilmiah dari sisi-sisi sejarah dan sebagainya.
Pengerusi Lajnah, Dato’ Ahmad Amzad Hashim dalam ucapan berharap usaha berterusan dalam membangkitkan isu-isu terutamanya berkaitan dengan kepentingan khususnya Islam-Melayu dan juga rakyat Malaysia.
“(Ia adalah) supaya memahami berkaitan dengan isu-isu berkaitan dengan pemilikan tanah orang Melayu yang telah kita bawa secara lantang sejak beberapa sesi yang lalu.
“(Ia) yang membawa kepada usul-usul yang penting yang pernah dibawa di peringkat PAS melalui usul berkaitan dengan ancaman terhadap Tanah Rizab Melayu yang telah memberi kesan besar kepada negara kita.
“Dan kini satu lagi ancaman besar sedang kita hadapi adalah berkaitan dengan rancangan sedang dibuat oleh kerajaan hari ini, pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mana di dalam kerajaan ini blok terbesar yang membentuk kerajaan terdiri daripada 40 Ahli Parlimen daripada DAP.
“Yang telah sedikit sebanyak, bukan sedikit sebanyak, sangat banyak sebenarnya menentu hala tuju dasar yang ada, yang kerajaan hari ini termasuklah yang terbaru apa yang disebut sebagai Akta Pembaharuan Semula Bandar.
“Akta Pembaharuan Semula bandar ini adalah satu akta baru yang tidak pernah ada. Ramai orang tidak dapat membezakan antara isu pembaharuan semula bandar dengan isu berkaitan dengan akta pembaharuan semula bandar,” katanya.
Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, LAr Fauzi Abu Bakar dan Ahli Jawatankuasa Kerja LUHAM PAS Pusat, Mohd Zubir Embong.
Juga Timbalan Pengerusi Sekretariat Jawatankuasa Bertindak Bantahan URA, Dato’ Sri Ismail Mutalib dan Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar A Samad.
Slot pertama dalam seminar tersebut dibentangkan oleh Fauzi bertajuk ‘URA: Potensi Memanipulasi Demografi Penduduk’, sementara itu, slot kedua pula dibentangkan oleh Zubir bertajuk ‘URA: Pandangan Islam dan Perundangan’.
Selain itu terdapat 12 resolusi dibuat dalam seminar tersebut yang telah dihasilkan Resolusi Grand Barakah disampaikan oleh pengendalinya, Mohd Safiee Junun.
Ismail Muttalib memberikan ucaptama bertajuk ‘Ancaman RUU URA Dari Parlimen’ dan berakhir dengan ucapan penutup disempurnakan oleh Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar A Samad selepas selesai sesi soal jawab. – HARAKAHDAILY 9/3/2025











