
PETALING JAYA: PAS Selangor menggesa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah kekurangan parkir di Pangsapuri Blok C dan D, Taman Petaling Utama, yang menyebabkan penduduk terus dikenakan saman.
Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata, penduduk berdepan situasi sukar kerana hanya terdapat 300 lot parkir untuk 625 unit kediaman, selain sebahagian lot digunakan sebagai tempat menyimpan kenderaan rosak.
“Pelbagai usaha telah dilakukan oleh penduduk untuk menyelesaikan masalah tersebut termasuk protes di hadapan pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan penyerahan memorandum kepada Datuk Bandar namun masih tiada penyelesaian dibuat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, antara cadangan penyelesaian yang dikemukakan termasuk pembinaan parkir bertingkat, kajian semula sistem penguatkuasaan saman serta penyediaan laluan bas awam bagi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.
Justeru, beliau berkata PAS Selangor mendesak MBPJ dan kerajaan negeri menangani isu itu secara menyeluruh bagi mengelakkan penduduk terus menanggung beban saman yang dianggap tidak munasabah.
Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hasan dalam pada itu mendesak kerajaan mengambil langkah segera bagi memastikan bekalan santan mencukupi dan harga tidak melonjak menjelang Aidilfitri.
Menurutnya, harga santan yang semakin mahal berpunca daripada kenaikan harga kelapa import sejak Oktober tahun lalu, sekali gus menjejaskan peniaga dan pengguna.
“Bulan ini sahaja permintaan santan meningkat bagi keperluan peniaga di bazar (Ramadan) dan juga pengusaha restoran yang menyediakan juadah berbuka.
“Harga makanan berasakan santan terpaksa dinaikkan untuk menampung kos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut membidas kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang menyalahkan petani tempatan kerana lebih cenderung menjual kelapa muda berbanding kelapa tua.
“Menteri tidak sepatutnya berat sebelah menyalahkan petani. Kedua-dua kelapa muda dan tua adalah keperluan dan sumber pendapatan rakyat,” tegasnya.
Katanya, masalah itu berlarutan selama beberapa bulan tanpa penyelesaian konkrit, dan kerajaan sepatutnya sudah mengambil langkah proaktif untuk menjamin bekalan yang mencukupi sebelum permintaan memuncak menjelang Aidilfitri.
“Boleh dikatakan hampir setiap rumah wajib membeli santan untuk juadah raya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 9/3/2025











