Kes bakar ibu: Tertuduh diarah ke pakar psikiatri

- Advertisement -

ALOR SETAR: Abd Rahman Harun, 43, yang didakwa membunuh dan membakar ibunya, diarahkan dihantar ke Hospital Ulu Kinta, Perak pada 11 Mac ini bagi tujuan pemeriksaan psikiatri.

- Advertisement -

Tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, hanya mengangguk selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, Abd Rahman yang mempunyai rekod mental sebelum ini, didakwa membunuh ibunya, Isah Salleh, 70, di rumah mereka di Kampung Bok Bok, Derga, antara jam 7 hingga 8 pagi pada 2 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Huda Diyanah Amir Hamzah, manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Tertuduh juga adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Berikutan itu, Timbalan Pendakwa Raya, memohon agar tertuduh dihantar menjalani penilaian psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah menetapkan 10 April depan untuk keputusan laporan penilaian psikiatri.

Pada kejadian 2 Mac lalu, seorang wanita warga emas dilaporkan ditemui maut dengan kesan terbakar di sebuah rumah di Jalan Tok Keling, Kampung Bok Bok, di sini.

Mangsa yang berusia 68 tahun, dipercayai dibunuh oleh anak kandungnya sendiri dalam satu kejadian amuk sekali gus mengejutkan penduduk setempat.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad, polis menerima panggilan kecemasan MERS999 pada jam 7:48 pagi, berkenaan kejadian tersebut. – HARAKAHDAILY 9/3/2025

- Advertisement -