
KUALA LUMPUR: Pegawai perubatan yang terkesan dengan pembatalan pemilihan penempatan pada 27 Februari baru-baru ini pastinya amat kecewa dengan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.
Pengerusi Portfolio Kesihatan Perikatan Nasional (PN) itu berkata, pembatalan itu bukan sahaja menjejaskan perancangan mereka sebagai doktor di sektor awam, bahkan boleh mengganggu kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
“Masalah teknikal tidak sepatutnya menjadi alasan untuk membatalkan keputusan yang telah dibuat, lebih-lebih lagi setelah sebahagian pegawai membuat perancangan berdasarkan pemilihan penempatan tersebut.
“KKM sewajarnya memberikan penjelasan terperinci mengenai punca sebenar gangguan teknikal ini serta langkah yang akan diambil untuk memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Saya khuatir tindakan seperti ini oleh KKM akan terus menyerlahkan kelemahan dalam pentadbiran yang berlarutan tanpa penyelesaian,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Ahmad Yunus yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata, sebelum ini ramai pegawai perubatan kecewa kerana sistem KKM seolah-olah tidak mengambil kira faktor senioriti.
“Keadaan ini juga boleh mengurangkan minat generasi muda untuk menceburi bidang perubatan,” bidasnya.
Justeru, beliau menggesa KKM untutk mengambil tanggungjawab penuh dan bertindak segera dalam menangani isu itu.
“Selain itu, KKM harus lebih profesional dalam pengurusan serta memastikan pegawai perubatan yang terkesan mendapat keadilan sewajarnya,” katanya.
Terdahulu, KKM membatalkan pemilihan penempatan 2,245 Pegawai Perubatan Gred UD10 yang dibuat pada 27 Februari lepas, susulan gangguan teknikal pada sistem ePlacement selama satu jam 30 minit.
Ia didakwa menyebabkan kesilapan dalam pemilihan penempatan pegawai itu, sekali gus menjejaskan agihan yang telah ditetapkan.
Kementerian itu memaklumkan, bagi memastikan ketelusan dalam proses penempatan dan menangani isu maldistribusi, pemilihan baharu akan dibuka pada Isnin 17 Mac ini bermula jam 3 petang menerusi sistem sama. – HARAKAHDAILY 7/3/2025











