Kereta rempuh motosikal, pasangan remaja maut

Keadaan kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dan dua buah motosikal di Matahari Height, Seremban.
- Advertisement -

SEREMBAN: Sepasang remaja berumur 15 dan 16 tahun maut apabila motosikal yang mereka naiki dilanggar sebuah kereta dalam kemalangan yang turut membabitkan sebuah motosikal lain di Jalan Persiaran Senawang 1, dekat persimpangan lampu isyarat Matahari Height di sini, malam tadi.

Dalam nahas jam 8.30 malam itu, penunggang dan pembonceng motosikal jenis Modenas Kriss disahkan maut di tempat kejadian.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dipandu seorang remaja berumur 18 tahun bersama seorang penumpang lelaki berumur 17 tahun dari arah Senawang ke Paroi.

Apabila tiba di lokasi kejadian, katanya pemandu kereta Honda Jazz dipercayai gagal berhenti di lampu isyarat warna merah, lalu melanggar dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.

“Akibat kemalangan ini, penunggang dan pembonceng motosikal jenis Modenas yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu dan penumpang kereta Honda Jazz serta dua orang lagi, iaitu penunggang dan pembonceng motosikal jenis Honda Vario mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Hatta berkata, kedua-dua mayat mangsa penunggang dan pembonceng motosikal dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, G Shankar di talian 014-6000353 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan – HARAKAHDAILY 7/3/2025

- Advertisement -